Keadaan kawasan parkir di Sungai Kut Muara di Dalat yang dinaiki air berikutan fenomena air pasang besar semalam. Foto Ihsan Pembaca
Keadaan kawasan parkir di Sungai Kut Muara di Dalat yang dinaiki air berikutan fenomena air pasang besar semalam. Foto Ihsan Pembaca
Mohd Roji Kawi
am@hmetro.com.my

Dalat : Air pasang besar yang melanda kawasan berdekatan pantai dan tebing sungai petang semalam hampir menenggelamkan lebih 10 kereta milik penduduk Kampung Bungan yang parkir di tempat letak kereta di Sungai Kut Muara di sini.

Ketua Kampung Bungan Sulaiman Hashim berkata, penduduk kampung terpaksa meninggalkan kereta mereka di lokasi terbabit kerana tiada jalan raya menghubungkan kampung mereka dari Sungai Kut Muara.

Menurutnya, penduduk akan akan menaiki perahu yang memakan masa perjalanan kira-kira 30 minit dari Sungai Kut Muara untuk balik ke rumah masing-masing.

"Penduduk tidak mempunyai pilihan dan terpaksa meninggalkan kereta mereka di Sungai Kut Muara kerana di situlah jalan raya terdekat dengan kampung kami.

"Kami terpaksa berdepan pelbagai risiko meninggalkan kereta jauh dari kediaman seperti ini antaranya ditenggelami air pasang besar," katanya.

Sulaiman berkata, ketika kejadian air pasang besar yang berlaku petang semalam, penduduk tidak sempat mengalihkan kenderaan masing-masing.

"Nasib baik air tidak memasuki kereta sepenuhnya, namun ada juga yang sudah dinaiki air hingga paras enjin.

"Penduduk Sungai Kut Muara banyak membantu kami memantau keadaan kenderaan yang ditinggalkan, namun jika berlaku air pasang besar, sukar bagi mereka untuk menyelamatkan semua kereta," katanya

Menurutnya lagi, pihaknya sudah lama memohon agar jalan raya dari Sungai Kut Muara dibina bagi menghubungkan kampung mereka yang terletak dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bawang Assan itu.

"Namun sehingga kini, permohonan itu masih belum mendapat perhatian. Kami memang amat mengharapkan agar jalan raya dibina bagi mengatasi masalah yang selama ini kami hadapi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Disember 2021 @ 8:38 AM