PISAU yang digunakan suspek. FOTO ihsan Polis
PISAU yang digunakan suspek. FOTO ihsan Polis
Omar Ahmad


Pasir Gudang: Marah kerana tidak mahu meneruskan hubungan cinta, seorang lelaki tergamak menikam dan menetak teman wanitanya dalam satu kejadian di pangsapuri sekitar Masai di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd. Sohaimi Ishak berkata, dalam kejadian jam 12 tengah hari itu, pihaknya mendapat maklumat dari pengawal keselamatan pangsapuri terbabit yang mendengar jeritan mangsa.

Katanya bertindak atas makluman, pihak polis berjaya menahan suspek yang juga pemandu e-hailing di lokasi sama, lebih kurang jam 1 petang hari sama.

"Pengawal keselamatan (pengadu) itu memaklumkan terdengar pergaduhan di unit kediaman berkenaan, semasa membuat pemeriksaan di rumah mangsa, pengadu mendapati suspek memegang pisau dan mangsa dalam keadaan berlumuran darah.

"Suspek berusia 30 tahun, bertindak mencederakan mangsa dengan menetak di beberapa bahagian badan dan menikam mangsa.

"Mangsa luka di bahagian muka, lengan dan pergelangan tangan, selain cedera ditikam dibahagian rusuk. Mangsa dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk rawatan lanjut.

"Siasatan awal mendapati suspek bertindak sedemikian kerana marah terhadap mangsa yang enggan meneruskan hubungan percintaan antara mereka," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd Sohaimi berkata pihak polis turut merampas pisau sepanjang 19 sentimeter yang digunakan dalam kejadian tersebut.

"Pemeriksaan awal ke atas suspek mendapati lelaki berkenaan mempunyai satu rekod lampau bersabit kesalahan jenayah," katanya kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan

Suspek direman enam hari bermula hari ini selepas mendapat perintah oleh Penolong Pendaftar, Khalida Farhana Abu Bakar di Mahkamah Majistret di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 September 2022 @ 5:37 PM