GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


Ampang Jaya: Terdesak untuk membeli keperluan perbelanjaan menyebabkan remaja lelaki warga Afghanistan tergamak menyamun dan menikam pekerja kedai runcit, di Jalan Merdeka Permai 2, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, dalam kejadian jam 5 petang itu, pekerja Afghanistan berusia 26 tahun didatangi suspek yang juga warga Afghanistan berusia 18 tahun yang tidak dikenalinya.

Menurutnya, suspek meminta mangsa menyerahkan duit namun dia enggan menyebabkan remaja terbabit terus menikam dengan pisau sehingga cedera di kepala dan bahu.

"Mangsa yang cedera menerima rawatan di Hospital Ampang.

"Susulan itu, pada jam 1.45 pagi tadi, polis menahan suspek yang tidak bekerja di Jalan Wawasan, di sini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, polis merampas sebilah pisau pemotong sayur yang digunakan semasa kejadian dan pakaian yang dipakai.

"Reman terhadap suspek selama tujuh hari sehingga 17 September ini.

"Suspek juga tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah," katanya

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 September 2022 @ 1:17 PM