GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Nurul Amanina Suhaini


Pasir Gudang: Perbuatan seorang lelaki mengugut mahu membunuh neneknya kerana berang selepas tidak diberikan wang mengundang pada selepas dia ditahan di Kampung Batu 16, Sungai Tiram, Ulu Tiram di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak, berkata dalam kejadian 6 petang semalam, wanita berusia 75 tahun itu didatangi cucunya berusia 23 tahun dalam keadaan marah.

Katanya, suspek dikatakan berang dengan neneknya selepas warga emas itu tidak memberi wang yang diminta.

"Pengadu mendakwa suspek mengacu pisau ke arahnya sambil memberitahu akan menyembelihnya jika tidak memberikan wang.

"Pengadu yang dalam ketakutan melarikan diri ke rumah jiran untuk meminta pertolongan sebelum menghubungi polis," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Sohaimi berkata, susulan itu, anggota dari Balai Polis Ulu Tiram menahan suspek kira-kira jam 12.05 malam tadi di sebuah rumah di kampung itu dan merampas sebilah pisau berukuran panjang 24 sentimeter yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.

Katanya, tujuan suspek meminta wang masih dalam siasatan namun semakan rekod lampau mendapati dia mempunyai tiga rekod jenayah dan dua rekod jenayah dadah.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

"Suspek direman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama empat hari bermula hari ini sehingga 26 April ini bagi siasatan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 April 2021 @ 4:24 PM