GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Mohd Amin Jalil

[email protected],my

Seremban: Persatuan Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru) yakin pengumuman kerajaan meluluskan penggunaan vaksin Covid-19 Comirnaty keluaran Pfizer-BioNTech untuk individu berusia 12 tahun dan ke atas, melegakan ramai ibu bapa.

Presiden i-Guru Mohd Azizee Hasan berkata, ini kerana ia akan memberi peluang pelajar mengikuti sesi persekolahan secara bersemuka, terutama kepada yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021.

"Kami percaya ia memberi sinar baik kepada pelajar yang bakal menduduki SPM 2021 untuk mendapatkan suntikan vaksin berkenaan, seperti mana yang kami syorkan sebelum ini.

"Dengan pemberian suntikan vaksin itu membolehkan sesi persekolahan untuk pelajar yang akan mengambil peperiksaan SPM pada tahun hadapan, dapat memulakan sesi persekolahan secara bersemuka seawal yang mungkin," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dalam laporan media semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dilaporkan berkata, vaksin Covid-19, Comirnaty diluluskan untuk kegunaan individu berusia 12 tahun dan ke atas dalam Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) Kali Ke-359.

Mohd Azizee berkata, pihaknya yakin jika program vaksinasi ini akan membolehkan operasi sekolah dan sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) bersemuka dapat dibuka secepat mungkin.

"Ia sekali gus dapat mengelakkan jurang keciciran pendidikan dan merendahkan motivasi pelajar terutama kepada mereka yang akan menduduki peperiksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Jun 2021 @ 3:27 PM