GUNUNG Inas pada 6 Julai lalu. FOTO Danial Saad
GUNUNG Inas pada 6 Julai lalu. FOTO Danial Saad
M Hifzuddin Ikhsan


Baling: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memulakan siasatan berhubung kemungkinan salah laku menyebabkan bencana banjir dan kepala air Gunung Inas, Kupang, Isnin lalu.

Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd Manap berkata, pihaknya terlebih dahulu perlu meneliti minit Mesyuarat EXCO Kerajaan Negeri Kedah terdahulu berkaitan projek ladang durian Musang King di Gunung Inas.

Katanya, turut perlu dilihat semula adalah laporan penilaian impak alam sekitar (EIA) projek terbabit bagi mengesan sebarang ketidakpatuhan pada kelulusan yang diberikan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

"Projek ini sudah agak lama, lebih sembilan tahun lalu. Kita perlu teliti banyak dokumen termasuk setiap minit Mesyurat EXCO terdahulu. Ada banyak peringkat perlu dibuat bagi melihat jika ada salah laku dalam projek ini.

"Begitu juga laporan EIA kita perlu lihat semula syarat kelulusan berkaitan. Mungkin kelulusan untuk tanam getah, tetapi ditukar kepada durian tanpa pengetahuan, semua ini ambil masa untuk disiasat," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Shaharom Nizam berkata, pihaknya juga tidak menolak kemungkinan memanggil syarikat yang mengusahakan ladang durian di Gunung Inas terbabit, jika siasatan terarah kepada pelanggaran syarat.

Katanya, siasatan pegawai SPRM masih di peringkat awal dan perlu dilakukan secara terperinci berikutan kes terbabit membabitkan rekod serta fail yang agak lama.

"Pegawai SPRM turut berada di lokasi bencana di Kampung Iboi sebaik berlaku kejadian bagi mendapatkan gambaran awal mengenai apa sebenarnya berlaku di sana.

"Siasatan lanjut hanya akan dibuat jika kita kesan ada kesalahan rasuah di bawah bidang kuasa SPRM. Jika tidak kita akan serah kepada agensi lain," katanya.

Dalam kejadian Isnin lalu, bencana banjir dan kepala air menyebabkan lebih 800 penduduk di Kampung Iboi, Kupang, terjejas selain turut mengorbankan tiga mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Julai 2022 @ 4:26 PM