KOLAM takungan di kawasan persekitaran Gunung Inas. FOTO Ihsan Pejabat Ahli Parlimen Baling
KOLAM takungan di kawasan persekitaran Gunung Inas. FOTO Ihsan Pejabat Ahli Parlimen Baling
Noorazura Abdul Rahman


Baling: Penduduk Kampung Iboi, Kupang, menggesa semua kolam takungan air projek ladang durian Musang King di puncak Gunung Inas, ditutup segera bagi mengelak kejadian kepala air dan banjir berulang.

Penduduk Abdullah Ahmad, 65, berkata, semua air takungan di dalam kolam itu perlu dialir secara perlahan-lahan terlebih dahulu sebelum semua ditutup sepenuhnya.

Jelasnya, beberapa hari lalu, sekumpulan penduduk kampung mendaki Gunung Inas selama lima jam kerana mahu melihat sendiri keadaan kolam yang dikatakan pecah di puncak gunung berkenaan.

"Mereka menemui dan melihat sendiri enam kolam takungan pecah, selain tiga lagi masih dipenuhi air di sekitar kawasan puncak Gunung Inas.

"Kebanyakan kami masih trauma dan bimbang selepas kejadian 4 Julai lalu. Jika tiga lagi kolam takungan yang dianggarkan sedalam enam meter dan seluas padang bola itu pecah, ia boleh menyebabkan kepala air lebih dahsyat dari sebelum ini," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Abdullah antara mangsa yang masih berlindung di Dewan Umno Kampung Iboi, di sini, selepas sebahagian rumahnya musnah akibat kejadian yang turut mengorbankan tiga nyawa penduduk lain.

BONGKAH batu di kawasan  persekitaran Gunung Inas. FOTO Ihsan Pejabat Ahli Parlimen Baling
BONGKAH batu di kawasan persekitaran Gunung Inas. FOTO Ihsan Pejabat Ahli Parlimen Baling

Seorang lagi penduduk yang mengalami nasib sama, Abidin Md Ghani, 54, berkata, keluarganya kini tidak pernah tenang setiap kali melihat cuaca mendung dan awan gelap berada sekitar puncak Gunung Inas.

Katanya, bencana yang berlaku menyebabkan Sungai Kupang menjadi sangat cetek dan mengalir deras sehingga mengubah kawasan perkampungan terutamanya Lata Chelak yang terletak berhampiran sungai.

"Dahulu sungai terletak kira-kira enam meter dari rumah saya, tetapi kini jaraknya tidak sampai dua meter. Sungai Kupang menjadi semakin lebar dan dipenuhi pasir yang dibawa dari gunung, batu besar sekitar Lata Chelak pula sudah habis ditimbus pasir.

"Semua pasir perlu dikorek semula bagi mendalamkan sungai, benteng pasir yang dibina di kawasan tebing tidak mampu menahan aliran deras kepala air sekiranya kolam takungan di puncak Gunung Inas pecah," katanya.

Seorang lagi penduduk, Ahmad Salleh, 62, berkata, petani tidak lagi dapat mengusahakan tanaman sawah sejak lima tahun lalu, selepas saliran air ke petak sawah tersumbat kerana dipenuhi pasir akibat projek ladang durian Musang King di puncak Gunung Inas.

Katanya, kebanyakan petani terpaksa menukar tanaman padi kepada pisang dan kelapa sawit kerana saliran yang sepatutnya membekalkan air ke petak sawah tidak lagi berfungsi.

"Dalam kejadian 4 Julai lalu, saya kerugian kira-kira RM6,000 apabila 500 pokok pisang yang ditanam di kebun berdekatan tebing Sungai Kupang, musnah sepenuhnya selain pagar yang baharu dipasang turut dihanyutkan banjir.

"Sampai bila penduduk perlu tanggung kerugian dan kemusnahan harta benda, nyawa kami seperti telur di hujung tanduk, sudah tiga nyawa terkorban.

"Kerajaan tolong buat sesuatu agar kolam takungan di puncak Gunung Inas dapat ditutup," katanya.

Pada 17 Julai lalu, Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) mengesahkan banjir di beberapa kampung di Baling berpunca daripada kolam takungan yang dibina bagi projek tanaman durian Musang King di puncak Gunung Inas, pecah.

Dalam kejadian itu, kira-kira 800 penduduk sekitar Kupang terjejas selain tiga nyawa terkorban termasuk wanita hamil empat bulan, selain mengakibatkan 17 rumah ranap sepenuhnya serta ratusan kediaman rosak teruk.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Julai 2022 @ 4:14 PM