KAWASAN hutan simpanan untuk melihat empangan bekalan air masyarakat yang digunakan oleh penduduk di sembilan kampung dalam Mukim Kupang. FOTO Safuri Kamarudin.
KAWASAN hutan simpanan untuk melihat empangan bekalan air masyarakat yang digunakan oleh penduduk di sembilan kampung dalam Mukim Kupang. FOTO Safuri Kamarudin.
Noorazura Abdul Rahman


KERAJAAN Kedah akan melakukan pemantauan bagi memastikan pengusaha projek tanaman durian Musang King dan pembalakan di Kompartment 8, Hutan Simpan Gunung Inas membuat perangkap lumpur bagi menghalang pencemaran sumber air kepada penduduk di Mukim Kupang, Baling.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, sekiranya pihak terbabit gagal mematuhi kaedah yang ditetapkan Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK), tindakan sewajarnya mesti diambil supaya sumber air penduduk terus terpelihara.

"Saya ada menerima surat daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bayu, Abd Nasir Idris, mengenai masalah berkenaan, pihak saya akan tengok kenapa air di situ keruh apabila hujan.

"Sebab JPNK sudah tetapkan, pihak terbabit perlu bina perangkap selut iaitu dengan membina perparitan dan lubang besar, apabila hujan, air yang membawa selut akan masuk ke dalam parit dahulu seterusnya mendap di dalam lubang sebelum air yang jernih dilepaskan ke dalam sungai," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Cabutan Kerja Undi Secara Dalam Talian Bagi Projek Marris dan Pakej Rangsangan Ekonomi Negeri Kedah di Wisma Darul Aman, Alor Setar hari ini.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, pihaknya akan melihat perkara itu secara serius berikutan masalah itu sudah berlarutan sejak tahun lalu.

Semalam, NSTP melaporkan lebih 750 keluarga di sembilan kampung dalam Mukim Kupang terdedah dengan pencemaran air tidak bersih untuk kegunaan rutin harian, dipercayai berpunca projek Musang King dan pengambilan kayu balak di Kompartment 8, Hutan Simpan Gunung Inas.

Antara kampung yang terbabit dengan pencemaran Kampung Iboi, Masjid Iboi, Padang Empang, Kubang Katak, Bukit Kawi, Iboi Sekolah, Lata Celak, Bok Bak dan Bukit Iboi.

Berita berkaitan:

  • 10 tahun guna air tercemar
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Jun 2020 @ 1:38 PM