ISMAIL Sabri (tiga dari kiri) beramah mesra dan berbual dengan penduduk Kampung Iboi.  FOTO Danial Saad
ISMAIL Sabri (tiga dari kiri) beramah mesra dan berbual dengan penduduk Kampung Iboi. FOTO Danial Saad
Safuri Kamarudin


Baling: Penduduk di Kampung Iboi di sini, mengambil peluang menyerah memorandum Gunung Inas kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sempena lawatan beliau ke sini, hari ini.

Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Amal Iboi (PKAI) Dr Mohd Syuhaimi Zakaria berkata, memorandum bantahan mengenai tragedi Gunung Inas diserahkan kepada Perdana Menteri di Stor Logistik Kampung Telok Durian, Kupang hari ini.

Beliau berkata, memorandum itu mengandungi lima perkara asas yang penting untuk menyelamatkan Gunung Inas supaya ia dipulihara dan dijaga sebagai khazanah alam yang kekal.

"Antara lima perkara itu termasuk keselamatan, ekonomi, alam sekitar, kebajikan dan kesihatan.

"Selagi mana Gunung Inas tidak dipulihara dengan baik sudah tentu kehidupan penduduk di kampung itu tidak selamat," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, penduduk berharap Perdana Menteri dapat memberi perhatian masalah yang dihadapi itu dan mendengar sendiri keluhan rakyat di sini mengenai tragedi itu.

"Kami berharap ia dapat ditangani dengan segera supaya penduduk yang terjejas dengan bencana itu terbela malah kebanyakan penduduk mencari rezeki dengan bekerja kampung sebagai petani ," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 September 2022 @ 8:50 PM