AZRI Lydia ditenangkan ahli keluarga. FOTO Ihsan Pertubuhan Sentuhan Setia Kasih
AZRI Lydia ditenangkan ahli keluarga. FOTO Ihsan Pertubuhan Sentuhan Setia Kasih
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Pekarangan Jabatan Forensik Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh diselubungi kesedihan apabila anak bongsu yang juga mangsa kemalangan turun daripada wad untuk melihat jenazah ibu, bapa dan anak saudaranya buat kali terakhir.

Perkongsian meruntun hati itu dikongsi Shahrol Mohamad dari Pertubuhan Sentuhan Setia Kasih yang diberi tanggungjawab membawa tiga jenazah mangsa ke Lembah Klang untuk dikebumikan.

Shahrol atau dikenali sebagai Abang Chik berkata, mangsa wanita itu dikenal pasti sebagai anak bongsu kepada pasangan suami isteri yang meninggal dunia, Mohmed @ Mohamed Shamsuddin, 75, dan Kamariah Hamzah, 72.

"Walaupun cedera, namun dia gagahkan diri turun ke Jabatan Forensik untuk menatap jenazah ibu bapanya buat kali terakhir dan juga anak saudaranya, Muhammad Daniel Danish Mohd Ali, 12, yang maut dalam kemalangan hari ini.

"Suasana sungguh sayu, semoga Allah beri ketabahan buat ahli keluarga mereka," katanya kepada Harian Metro.

Shahrol berkata, anak bongsu kepada pasangan itu, Azri Lydia, 30, mengalami kecederaan ringan dan dibenarkan keluar wad hari ini.

"Bagaimanapun, dia tidak diberitahu mengenai kematian ibu bapa dan anak saudaranya itu, dan hanya mengetahui perkara itu selepas melihat berita.

"Disebabkan itu dia gagahkan diri turun ke Jabatan Forensik untuk menatap jenazah ibu bapa dan anak saudaranya buat kali terakhir," katanya.

Jenazah tiga sekeluarga itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Klang Gate dalam satu liang lahad dijangka awal pagi ini.

Shahrol berkata, tiga lagi ahli keluarga mangsa masih kritikal dan berada di zon merah manakala lima lagi cedera ringan.

"Semua yang terbabit dalam kemalangan ini berjumlah 11 orang membabitkan keluarga yang sama," katanya.

Selain Mohmed, Kamariah dan Muhammad Daniel, turut maut dalam kemalangan pada 3.10 pagi itu ialah pemandu trak tunda Mohd Azuan Zainal Abidin, 53, manakala 12 lagi cedera.

Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta Proton Exora yang mengalami kerosakan sedang dinaikkan ke trak tunda dirempuh sebuah lori kontena yang didakwa terbabas.

Turut dirempuh ialah sebuah Proton Waja dinaiki empat sekeluarga.

Mereka sekeluarga dalam perjalanan ke Terengganu dari Kuala Lumpur untuk bercuti sempena hujung minggu.

Berita berkaitan:

  • Tiga sekeluarga maut dalam perjalanan bercuti ke Terengganu
  • Identiti mangsa nahas 4 kenderaan dikenal pasti [METROTV]
  • Nahas 4 maut: Pemandu treler ditahan
  • 4 maut, 12 cedera nahas 4 kenderaan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Ogos 2022 @ 11:31 PM