Rafiqah Dahali


Kota Kinabalu: Ahli Parlimen Lahad Datu, Datuk Dr Mohamadin Ketapi mengumumkan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM), hari ini.

Penyertaan Mohamadin ke dalam PBM secara rasmi hari ini sekaligus menjadikan beliau dilantik sebagai Ketua Perhubungan PBM Sabah.

Katanya, keputusannya menyertai PBM adalah kerana matlamat utama parti terbabit memperjuangkan perkara berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

"Saya memilih wadah perjuangan parti ini selepas menilai dan meneliti perlembagaan parti yang menjadi teras penubuhannya iaitu memperjuangkan pelaksanaan hak dan autonomi wilayah Borneo seperti yang termaktub dalam MA63.

"Dalam situasi politik tanah air yang tidak pernah berlaku sebelumnya, saya berpendapat bahawa penyatuan kuasa rakyat dari Sabah dan Sarawak adalah penyelesaian untuk masalah kestabilan politik dan menjamin kesejahteraan rakyat Malaysia," katanya.

Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Segama menyifatkan penyertaannya selaku wakil rakyat Sabah ke PBM yang diasaskan dari Sarawak itu bakal memudahkan kedua-dua negeri menjalinkan kerjasama khususnya dalam memastikan hak dalam MA63 ditunaikan.

"Kita mahu Sabah, Sarawak dan Semenanjung bekerjasama demi kebaikan negara dan perkukuhkan kedudukan Sabah di Malaysia," katanya dalam sidang media khas bertempat di Sutera Harbour Resort, di sini, hari ini.

Turut hadir, Presiden PBM, Datuk Larry Sng Wei Shien dan Presiden Parti Kuasa Rakyat, Kamarazaman Yaakob.

Ditanya mengenai kemungkinan beliau akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 15 atas tiket PBM, beliau memberi gambaran seolah-olah bakal bertanding menggunakan logo parti itu.

"Sama ada bertanding atau tidak bergantung pada keadaan dan keadaan apabila sampai masanya.

"Selaku Ketua Perhubungan PBM yang bekerjasama dengan Parti Kuasa Rakyat, saya akan menjelajah seluruh Sabah dan akan menambah ahli untuk parti ini," katanya.

Sebelum ini, Mohamadin yang memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) ke 14 atas tiket Parti Warisan Sabah (Warisan) mengumumkan keluar dari parti terbabit pada Oktober tahun lepas dan menjadi wakil rakyat bebas.

Beliau kemudiannya menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada November tahun lepas sebelum mengumumkan keluar dari parti itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Ogos 2022 @ 1:34 PM