ANTARA dadah yang dirampas dalam serbuan berkenaan.
ANTARA dadah yang dirampas dalam serbuan berkenaan.
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Jadikan kondominium dengan dikawal pengawal keselamatan sebagai tempat penyimpanan dan pembungkusan dadah bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Itu taktik sindiket pengedaran dadah yang aktif sejak empat bulan lalu sebelum tumpas selepas seorang lelaki berusia 48 tahun ditahan polis dalam Op Otto oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur bermula Isnin hingga kelmarin.

Dalam operasi sama, polis merampas dadah bernilai RM708,900.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim berkata, operasi bermula 10 malam Isnin lalu hingga 12.35 tengah malam kelmarin di dua lokasi di sini, dan polis menahan seorang lelaki serta merampas dadah syabu serta pil ekstasi.

Menurutnya, serbuan pertama dijalankan di Jalan Vista Mutiara, Kepong, dan menahan suspek.

Katanya, pemeriksaan di dalam kondominium itu menemui 1,000 biji pil ekstasi dan 123.87 gram syabu.

"Susulan itu, polis kemudian menyerbu sebuah lagi tempat di Jalan Perkasa 3, Bukit Jalil dan menemui 13.59 kilogram (kg) pil ekstasi serta syabu seberat 1.04 kg.

"Ujian air kencing ke atas suspek mendapati dia positif dadah methamphetamine dan memiliki rekod jenayah mengikut Seksyen 135 Akta Kastam 1967," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Azmi berkata, sindiket ini bergiat aktif sejak empat bulan lalu dengan menjadikan kondominium dengan dikawal pengawal keselamatan sebagai tempat penyimpanan dan pembungkusan dadah bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

"Bekalan dadah diperoleh dari pengedar dadah tempatan untuk pasaran di sekitar Lembah Klang.

"Suspek tidak memiliki pekerjaan tetap dan menjadikan kegiatan pengedaran dadah sebagai punca pendapatan," katanya.

Beliau berkata, suspek direman seminggu sehingga 29 Ogos ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Ogos 2022 @ 11:36 AM