M Kumar menunjukkan barang rampasan ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini. FOTO Izz Laily Hussein.
M Kumar menunjukkan barang rampasan ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini. FOTO Izz Laily Hussein.
Izz Laily Hussein


Johor Bahru: Sindiket pengedaran dadah yang bertindak seperti 'one stop centre' dengan membekalkan pelbagai jenis dadah dalam pasaran tempatan sejak Disember tahun lalu akhirnya tumpas.

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata, ia selepas polis membuat enam serbuan di lima kondominium dan sebuah rumah teres sekitar Taman Setia Indah dan Taman Johor Jaya di sini.

Beliau berkata, dalam serbuan antara jam 1 petang, Isnin lalu hingga jam 1 pagi kelmarin itu, seramai enam individu berusia antara 29 hingga 39 tahun ditahan selain 6.75 kilogram dadah pelbagai jenis yang bernilai RM510,628 dirampas.

"Modus operandi sindiket ini adalah dengan menyewa premis dalam kawasan berpagar dan berpengawal dan menjadikannya sebagai stor penyimpanan dan pembungkusan semula dadah sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.

"Kita merampas 5,772 gram serbuk ekstasi, 206.65 gram pil ekstasi, 267.6 gram pil erimin 5, 288.4 gram ketamin, 127.5 gram syabu dan 88.20 gram ganja.

"Jika dilihat, ia membabitkan semua jenis dadah yang jadi tarikan utama dalam pasaran, umpama borong 'one stop centre'," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.

Menurut Kumar, jika semua dadah yang dirampas itu terlepas ke pasaran, ia boleh digunakan oleh seramai 22,969 penagih.

Katanya, dalam operasi itu juga, pihaknya turut menyita enam kereta, pelbagai barang kemas dan wang tunai sebanyak RM98,000 yang mana keseluruhan nilai sitaan adalah berjumlah RM630,924.

Pada masa sama, Kumar berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti sumber bekalan dadah diperoleh.

Beliau berkata, tiga lelaki tempatan termasuk dalang sindiket, serta seorang wanita tempatan dan dua wanita warga asing itu kini direman tujuh hari bermula kelmarin hingga Isnin depan.

"Tiga daripada suspek positif ketamin dan methamphetamine, manakala hasil semakan rekod lampau mendapati dua daripada suspek mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah serta seorang yang mempunyai rekod orang dikehendaki (wanted).

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mac 2024 @ 5:52 PM