GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mary Victoria Dass

Johor Bahru: Polis merampas pelbagai jenis dadah dan menahan empat suspek dalam serbuan ke atas sebuah rumah di kawasan perumahan berpagar yang dijadikan stor penyimpanan dan pembungkusan dadah sejak Julai lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor, Asisten Komisioner Mohd Afzanizam Yahaya berkata, serbuan berkenaan dilakukan pada 5.30 petang pada 7 Disember lalu di sebuah kawasan perumahan di bandar raya ini.

Beliau berkata, modus operandi sindiket berkenaan adalah dengan menyewa rumah di perumahan berpagar bagi menjalankan kegiatan pembungkusan dan penyimpanan dadah bagi mengelak dihidu pihak polis.

Katanya, hasil serbuan, polis merampas pelbagai jenis dadah termasuk 4.4 kilogram serbuk ekstasi, 1.25 kilogram ketamine, 573 pil ekstasi, 410 pil erimin 5, 3.15 liter cecair ekstasi, 28 gram mushroom dan 11 gram ganja bernilai keseluruhan RM353,250.

Katanya, malah polis juga menyita sebuah kereta Honda City, Perodua Alza, wang tunai RM2,800 dan barang kemas RM4,950 bernilai keseluruhan RM97,750.

"Nilai keseluruhan sitaan dan rampasan dadah bagi operasi berkenaan adalah RM451,000.

"Suspek yang ditahan adalah dua lelaki tempatan dan dua wanita warga Vietnam berusia antara 26 hingga 31 tahun.

"Hasil saringan air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah jenis methamphetamine dan ketamine manakala hasil semakan mendapati kesemua suspek tidak mempunyai sebarang rekod lampau," katanya menerusi siaran media hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Disember 2021 @ 1:48 PM