Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Ipoh: Kerajaan Perak sudah mencadangkan kepada Ketua Pengarah Pejabat Tanah dan Galian (PTG) untuk tampil dengan prosedur operasi standard (SOP) atau kaedah baharu bagi menyelesaikan masalah tanah terbiar di negeri ini khususnya disebabkan isu pusaka dan kematian berlapis.

Menteri Besarnya Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, masalah berkaitan tanah pusaka dan kematian berlapis waris tanah menyebabkan kesukaran termasuk kepada agensi kerajaan yang berhasrat membangunkan kawasan itu.

"Kalau pergi ke Pejabat Daerah dan Tanah (PDT), kita akan dapati sesuatu tanah yang ditumbuhi lalang di tepi jalan umpamanya mempunyai tuan tanah, tetapi masalahnya tanah itu adalah tanah pusaka yang sudah berlapis-lapis.

"Ia (tanah pusaka) yang belum disempurnakan bicara kuasa, jadi bila keadaan sebegitu walaupun ada beberapa agensi seperti Felcra atau Risda ingin membangunkannya, mereka berhadapan masalah sebab tuan tanah asal sudah meninggal dunia.

"Itulah kekangan kita kepada pembangunan tanah terbiar ini walaupun ada pihak berminat hendak buat (usahakan)," katanya selepas program Amanat Cikgu Saarani Wacana Perak Sejahtera 2030, di sini, hari ini.

Katanya, disebabkan itu dokumen perjanjian tidak dapat dibuat antara pemilik asal atau generasi pertama tuan tanah dengan pihak yang berhasrat membangunkan tanah terbiar berkenaan.

Ditanya mengenai keluasan sebenar tanah terbiar di Perak, Saarani berkata, ianya sangat luas, namun angka sebenar perlu dirujuk terlebih dahulu kepada PTG yang mempunyai data.

"Justeru, Ketua Pengarah PTG dicadangkan untuk membut kaedah atau SOP baharu untuk mempercepatkan proses penyempurnaan bicara kuasa khususnya bagi menangani isu kematian berlapis.

"Kita perlu ada satu kaedah baharu supaya ia mempermudahkan proses ini bagi lebih banyak tanah terbiar dibangunkan secara sah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Ogos 2022 @ 4:45 PM
SIDANG media oleh Saarani (kanan) pada Majlis ‘Amanat YAB Cikgu Saarani’ Program Wacana Perak Sejahtera 2030 dan Penyampaian Insentif kecemerlangan Sukan peringkat Antarabangsa 2022 di Dewan Serbaguna SUK  .FOTO L.Manimaran
SIDANG media oleh Saarani (kanan) pada Majlis ‘Amanat YAB Cikgu Saarani’ Program Wacana Perak Sejahtera 2030 dan Penyampaian Insentif kecemerlangan Sukan peringkat Antarabangsa 2022 di Dewan Serbaguna SUK .FOTO L.Manimaran