PILIHAN warna menarik serlahkan keceriaan kanak-kanak.
PILIHAN warna menarik serlahkan keceriaan kanak-kanak.
Faizatul Farlin Farush Khan

Jenama premium pakaian kanak-kanak, Poney baru-baru ini memperkenalkan barisan rekaan terbarunya untuk musim panas 2016 bertemakan Laut Dalam bagi memberi lebih banyak pilihan kepada golongan cilik tampak lebih bergaya setiap kali keluar bersiar-siar.

Koleksi kali ini mengambil ilham daripada warna dan corak yang terdapat pada suasana serta hidupan dasar laut dalam, selain penggayaan musim panas yang santai serta ceria.

Beberapa warna biru dalam nada berbeza ditampilkan untuk menonjolkan elemen laut dalam koleksi berkenaan. Perincian halus seperti jaluran, cetakan dan grafik hidupan laut menghiasi pakaian diperbuat daripada jersi lembut serta sifon berlapis.

Barisan pakaian kanak-kanak perempuan menampilkan gaya ikon moden gaun leher bulat dengan corak hidupan laut, lengan kembang serta dihiasi perincian lipatan.

Tambahkan gaya dengan sandal bertali dan reben rambut Alice, sekali gus menjadikan kanak-kanak perempuan yang menggayakan koleksi terbaru daripada Poney lebih menonjol.

Manakala koleksi kanak-kanak lelaki pula membariskan baju panas dengan padanan warna biru, hijau dan kuning serta corak obor-obor dengan seluar pendek berwarna ceria. Lebih menarik, gabungkan gaya dengan kasut sarung.

Warna yang diperkenalkan dalam koleksi kali ini banyak memberi fokus kepada ton tropika seperti pelbagai nada biru, kuning, putih, kelabu, hijau dan merah.

Jenama yang lahir pada 1992 itu menawarkan pakaian bergaya dalam koleksi empat musim kepada bayi dan kanak-kanak sehingga usia 12 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Jun 2016 @ 5:01 AM