SAARANI ketika ditemui selepas merasmikan program bicara forum Perak Economic Outlook 2024 di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan. FOTO L.Manimaran
SAARANI ketika ditemui selepas merasmikan program bicara forum Perak Economic Outlook 2024 di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan. FOTO L.Manimaran
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Ipoh: Kerajaan pusat sudah meluluskan bagi cadangan pembinaan Lebuh Raya West Ipoh Span Expressway (WISE) yang menghubungkan antara Gopeng ke Kuala Kangsar di Perak sepanjang 60 kilometer sebagai alternatif kepada laluan dekat Terowong Menora di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS).

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, beliau sudah dimaklumkan mengenai kelulusan itu selepas ia dipersetujui menerusi mesyuarat Kabinet yang berlangsung semalam, dan ia akan dibangunkan bersama syarikat konsesi secara inisiatif kewangan swasta (PFI).

"Alhamdulillah, saya dimaklumkan bahawa Kabinet sudah bersetuju untuk meluluskan cadangan pembinaan lebuh raya baharu iaitu WISE yang menghubungkan Gopeng ke Kuala Kangsar untuk mengelakkan laluan di Terowong Menora (Lebuhraya PLUS) dan ia dilakukan secara PFI," katanya ketika ditemui selepas merasmikan program bicara forum Perak Economic Outlook 2024 di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini hari ini.

Saarani berkata, pihaknya sudah meminta Pejabat Tanah dan Galian (PTG) mempermudahkan segala urusan khususnya berkaitan pengambilan tanah.

"Difahamkan 'route' (laluan jajaran) WISE itu pun sudah ada dan dia akan datang jumpa PTG dan saya pun sudah minta PTG untuk mempermudahkan segala urusan.

"WISE akan menjadikan Perak lebih rancak memandangkan Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) sudah pun beroperasi sebahagiannya dalam pada dijangka siap sepenuhnya menjelang 1 Januari ini. WISE akan jadi pelengkap kepada WCE apabila akan ada 'link' (penghubung) antara dua lebuh raya itu," katanya.

Sebelum ini, Pengerusi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Datuk Seri Jalaluddin Alias dilapor berkata pembinaan WISE ketika itu pada peringkat akhir rundingan bersama syarikat konsesi dan dijangka dimuktamadkan selewat-lewatnya Disember 2023 dengan rundingan itu meliputi pelbagai perkara termasuk jangkaan kos pembinaan keseluruhan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Disember 2023 @ 12:43 PM