SEBAHAGIAN pelajar yang melawat pameran Hari Terbuka Inovasi (IOD) di UPM kampus Bintulu, Sarawak.
SEBAHAGIAN pelajar yang melawat pameran Hari Terbuka Inovasi (IOD) di UPM kampus Bintulu, Sarawak.
PELAJAR UPM mendapatkan maklumat.
PELAJAR UPM mendapatkan maklumat.
PROF Madya Dr Osumanu Haruna Ahmed (kanan) menerangkan mengenai beras bario.
PROF Madya Dr Osumanu Haruna Ahmed (kanan) menerangkan mengenai beras bario.
Oleh Mohamad Hussin


Universiti Putra Malaysia (UPM) memperkenalkan 12 inovasi baru yang berpotensi untuk dikomersialkan membabitkan pertanian, perhutanan dan alam sekitar sempena Hari Terbuka Inovasi (IOD) di UPM kampus Bintulu, Sarawak, baru-baru ini.

Antara inovasi yang dipamerkan adalah assay multipleks untuk mengesan beras bario, kaedah dan bahan menghapuskan perosak dalam lada hitam, kaedah mengasingkan asid humik, komposisi baja, penambahbaikan rawatan tumbuhan, kaedah menghasilkan kayu kelapa sawit dan pengeluaran kayu bambo berlapis.

Pameran berkenaan anjuran bersama Putra Science Park (PSP), UPM dengan kerjasama Fakulti Sains Pertanian dan Makanan, UPM kampus Bintulu.

Timbalan Pengarah Bahagian Promosi dan Pemasaran Inovasi, PSP Dr Mohd Fakry Zaky berkata, pameran itu bertujuan mempromosikan pengkomersialan teknologi UPM di samping menggalakkan perbincangan secara bersemuka antara penyelidik dan pihak industri.

Beliau berkata, IOD bertujuan menggalakkan pihak industri menjalinkan kerjasama dengan penyelidik UPM termasuk penggunaan kepakaran dan konsultansi.

“Kebanyakan produk yang dipamerkan sudah mempunyai paten yang difailkan dan ada beberapa teknologi yang sudah bersedia dihasilkan pada skala besar untuk dikomersialkan.

“Ia juga antara landasan yang disediakan UPM bagi penyelidik mempromosikan hasil inovasi mereka sebelum dikomersialkan kepada penggiat industri yang berminat,” katanya ketika berucap pada majlis IOD itu.

Majlis perasmian disempurnakan Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Pengajian Siswazah) UPM kampus Bintulu, Dr Shahrul Razid Sarbini.

Mohd Fakry berkata, pihaknya merancang mengadakan Hari Terbuka Inovasi ini lima atau enam kali setahun tertakluk kepada kesesuaian masa fakulti berkaitan.

“Kami bagi peluang kepada pengusaha industri untuk bertemu penyelidik dan membincangkan perkara berbangkit. Menerusi kunjungan ke pameran ini, mungkin teknologi yang dihasilkan dapat membantu menyelesaikan masalah dihadapi,” katanya.

Sementara itu, Shahrul Razid berkata, IOD itu dapat mendedahkan teknologi UPM yang boleh menjadi satu peluang perniagaan dan potensi besar kepada industri di sekitar Bintulu dan Sarawak khususnya.

“Kami menjangkakan IOD ini bakal menjadi platform untuk membuka ruang perbincangan dengan pihak industri bagi mengetahui lebih lanjut teknologi ciptaan UPM yang sudah dipatenkan.

“Pihak industri juga dapat bertemu dengan pakar kami untuk tujuan pengkomersialkan teknologi atau membantu menyelesaikan masalah industri terutama dalam bidang pertanian dan makanan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Disember 2015 @ 9:59 AM