SAARANI pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penutupan Pertandingan Pidato Perak Sejahtera 2030 Piala YAB Menteri Besar Perak di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan. FOTO Balqis Jazimah Zahari
SAARANI pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penutupan Pertandingan Pidato Perak Sejahtera 2030 Piala YAB Menteri Besar Perak di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan. FOTO Balqis Jazimah Zahari
Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Kerajaan Perak menyarankan Kelab Bola Sepak Perak Perak FC untuk membuat permohonan kepada Pejabat Tanah dan Galian (PTG) berhubung hasrat untuk memiliki sebuah stadium dan pusat latihan sendiri di Chepor di sini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pihaknya setakat ini belum menerima sebarang permohonan berkenaan perkara itu.

"Saya belum (dapat permohonan), bagaimanapun mereka (Perak FC) perlu menghantar kepada Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Manjoi dan permohonan akan diproses seperti biasa.

"Dia tak boleh minta hari esok nak terus cepat, Pejabat Tanah akan bertanya Jabatan Kerja Raya (JKR), Lembaga Air Perak (LAP), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS)," katanya pada sidang media selepas hadir merasmikan Majlis Penutupan Pertandingan Pidato Perak Sejahtera 2030 Piala YAB Menteri Besar Perak di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Saarani berkata, semua jabatan teknikal berkenaan kemudiannya turut akan ditanya lanjut berhubung projek berkenaan.

"Jika semua jabatan itu mereka kata tiada halangan maka PTG akan bawa kertas itu ke dalam mesyuarat Exco dengan syor PTG.

"Kalau PTG kata boleh diluluskan, maka Mesyuarat Exco akan luluslah," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Impian Kelab Bola Sepak Perak (Perak FC) adalah untuk memiliki sebuah stadium dan pusat latihan sendiri bagi menyediakan prasarana terbaik kepada pemainnya sebagai usaha membawa kembali pasukan itu ke puncak kegemilangan.

Memetik laporan itu, Untuk merealisasikan impian itu, Pengerusi Perak FC Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi berkata, pihaknya sudah memohon kepada pihak berkuasa di Perak berhubung perancangan itu yang bakal melonjakkan lagi 'saham' pasukan serta melengkapkan ciri-ciri sebagai sebuah pasukan profesional.

Namun, Abdul Azim berkata proses perbincangan masih lagi berjalan dengan beliau berharap pihak terbabit dapat memberikan sokongan penuh kepada hasrat pasukan.

Menurut Abdul Azim terdapat tanah 'kosong' di sekeliling pusat latihan pasukan di Chepor, Ipoh yang dilihat sesuai untuk dibangunkan sebagai pusat latihan baharu selain hotel, pusat fisioterapi, gimnasium dan kemudahan lain yang diperlukan pemain.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 September 2022 @ 9:47 PM