KEMENTERIAN Pertahanan diberi pilihan tiga pertimbangan jika berhasrat menamatkan kontrak pembinaan enam kapal tempur pesisir (LCS). FOTO Arkib NSTP
KEMENTERIAN Pertahanan diberi pilihan tiga pertimbangan jika berhasrat menamatkan kontrak pembinaan enam kapal tempur pesisir (LCS). FOTO Arkib NSTP
Ilah Hafiz Aziz

Kuala Lumpur: Kementerian Pertahanan diberi pilihan tiga pertimbangan jika berhasrat menamatkan kontrak pembinaan enam kapal tempur pesisir (LCS).

Siasatan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) menyatakan pertimbangan pertama ialah sejumlah RM5.94 bilion yang sudah dibelanjakan kerajaan, namun setakat 31 Mei 2019, prestasi pembinaan bagi lima LCS antara 1.55 peratus ke 36.75 peratus sahaja, manakala LCS keenam pula masih belum bermula pembinaan.

"Pertimbangan kedua mengenai pencapaian fizikal keenam-enam LCS yang masih berbaki antara 63.25 peratus hingga 100 peratus serta jangkaan baki peruntukan kewangan sebanyak RM3.19 bilion (RM9.13 bilion ditolak RM5.94 bilion).

"Ini tidak dapat menampung dan menyiapkan sepenuhnya pembinaan keenam-enam LCS terbabit," menurut laporan JKSTUPKK yang dinyahklasifikasi hari ini.

Menerusi laporan itu, jawatankuasa turut memohon Kementerian Pertahanan untuk mempertimbang perkara ketiga iaitu kedudukan aliran tunai syarikat Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS).

"Kedudukan aliran tunai BNS setakat 31 Mei 2019 dilihat amat lemah dengan hutang bank sebanyak RM956.89 juta dan hutang kepada pembekal serta pengeluaran produk tulen (OEM) sebanyak RM801.11 juta," katanya.

JKSTUPKK turut berpendapat Opsyen 1 iaitu meneruskan kontrak wajar dipertimbang oleh kerajaan.

"Bagaimanapun jawatankuasa siasatan turut mencadangkan agar Kementerian Pertahanan hendaklah segera membentangkan semua penemuan siasatan itu, implikasi kewangan kerajaan dan hala tuju projek terbabit kepada Jemaah Menteri.

"Ini bagi membolehkan Jemaah Menteri mempertimbang dan membuat keputusan yang terbaik mengenai hala tuju pembinaan enam LCS," katanya.

Laporan JKSTUPKK yang dinyahklasifikasikan lanjutan daripada syor PAC pada 4 Ogos lalu dan keputusan Kabinet pada 10 Ogos 2022.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Ogos 2022 @ 4:20 PM