KAPAL Tempur Pesisir sewaktu upacara penamaan dan pelancaran di dermaga Boustead Naval Shipyard, pangkalan TLDM Lumut, pada 24 Ogos 2017. FOTO arkib NSTP
KAPAL Tempur Pesisir sewaktu upacara penamaan dan pelancaran di dermaga Boustead Naval Shipyard, pangkalan TLDM Lumut, pada 24 Ogos 2017. FOTO arkib NSTP
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Kontrak Kapal Tempur Pesisir (LCS) secara dasarnya terhenti atas pelbagai faktor pada 2019, namun kerajaan memutuskan menyambungnya semula berdasarkan opsyen paling murah.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Datuk Ahmad Nazim Abd Rahman berkata, tiga opsyen itu termasuk pelan penstrukturan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS).

"Pelan penstrukturan semula BNS ini diteliti oleh pihak kerajaan di pelbagai peringkat termasuk jawatankuasa Kabinet yang mengambil masa selama lapan bulan," katanya menerusi hantaran di Facebook, semalam.

Di dalam hantaran itu, beliau turut mengakui terbabit secara langsung dalam menggubal pelan pemulihan projek itu bersama Kementerian Pertahanan dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) baru-baru ini.

Menurutnya, beliau beberapa kali turun ke Lumut Shipyard terletak di dalam pengkalan TLDM dan melawat projek LCS berkenaan.

"Saya boleh sahkan pembinaan fizikal kapal memang sedang berlangsung. Kalau naik bot ke Pangkor pun boleh nampak 'hull' kapal-kapal ini yang sebahagian besarnya sudah dibina.

"Di bawah kontrak sekarang, pembinaan keenam-enam kapal ini perlu dibuat dalam masa yang sama (concurrently). Bukan bina satu, deliver satu. Lumut Shipyard besar dan ada kapasiti untuk pembinaan enam kapal sekali harung (sekali gus)," katanya.

Ahmad Nazim turut menyentuh mengenai mengapa bayaran dibuat sehingga enam kapal sekali gus, sedangkan perkembangan pembinaan hanya untuk lima projek, Ahmad Nazim berkata, ia disebabkan pembelian barang dibuat secara pukal.

"Ada yang membangkitkan persoalan RM6 bilion dari nilai kontrak RM9 bilion sudah dibayar. Kenapa bayar sampai RM6 bilion, tapi 'progress' pembinaan untuk lima kapal pertama hanya pada purata 55 peratus.

"Sebab RM6 bilion dibelanjakan untuk beli hampir kesemua peralatan yang perlu untuk bina enam kapal. Bulk order (pesanan pukal) lebih murah berbanding beli satu-satu)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Ogos 2022 @ 12:40 PM