DATUK Ramli Mohd Nor (tengah) bersama kakitangan Amanah Raya melancarkan program kibar jalung gemilang dan kempen merdeka wasiat Amanah Raya di Ibu Pejabat Amanah Raya. FOTO HAZREEN MOHAMAD
DATUK Ramli Mohd Nor (tengah) bersama kakitangan Amanah Raya melancarkan program kibar jalung gemilang dan kempen merdeka wasiat Amanah Raya di Ibu Pejabat Amanah Raya. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Amanah Raya Berhad (AmanahRaya) melancarkan Kempen Merdeka Wasiat AmanahRaya bersempena sambutan Bulan Kemerdekaan yang ke-65.

Pengerusinya, Datuk Ramli Mohd Nor berkata, kempen berkenaan menawarkan fi penulisan Wasiat Asas pada harga serendah RM350 dan RM950 bagi Wasiat Komprehensif bermula 1 Ogos sehingga 30 September ini.

"Kempen kali ini diadakan bersempena Bulan Kemerdekaan Malaysia yang ke-65. Bagi menyemarakkan lagi semangat cintakan negara, cintakan generasi kita, AmanahRaya memberikan harga istimewa kepada pelanggan.

"Justeru, saya menyeru kepada rakyat Malaysia, tidak kira bangsa dan agama agar menggunakan peluang yang ada ini sebaiknya," katanya pada sidang media selepas melancarkan Program Kibaran Jalur Gemilang dan Pelancaran Kempen Merdeka Wasiat AmanahRaya di Wisma AmanahRaya di sini, hari ini.

Ramli berkata, setakat 31 Julai lalu lebih 1.1 juta wasiat sudah didaftarkan, dengan 19,634 fail Pentadbiran Pusaka dan 23 418 Akaun Amanah sudah dibuka di AmanahRaya.

"Dengan kesedaran yang makin meningkat dalam kalangan masyarakat di Malaysia mengenai kepentingan melaksanakan Perancangan Pewarisan, AmanahRaya menjangkakan pertambahan jumlah Wasiat, Amanah dan Pusaka akan berlaku dari semasa ke semasa.

"Kesinambungan legasi 'Keluarga Malaysia' hanya dapat direalisasikan sekiranya masyarakat sedar mengenai kepentingan melaksanakan wasiat dan amanah di peringkat awal," katanya.

Mengulas berhubung harta beku yang berada di AmanahRaya, beliau berkata, perkara itu adalah tidak benar sama sekali.

"Untuk makluman, apabila seseorang itu meninggal dunia, hartanya masih di atas nama simati sehingga pentadbiran pusaka dibuat oleh waris.

"Harta simati ini tidak akan terus ke AmanahRaya seperti tanggapan masyarakat yang kita dengar selama ini," katanya.

Beliau berkata, di AmanahRaya, hanya ada Wang Menunggu Dituntut (WMD), iaitu membabitkan wang tunai milik waris yang tidak dapat diserahkan atas sebab-sebab tertentu.

Sebagai contoh, katanya, waris berpindah dan alamat yang diberikan tidak tepat.

"AmanahRaya hanya berperanan sebagai Pemegang Amanah kepada WMD ini sehingga serahan dibuat kepada waris yang sah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Ogos 2022 @ 3:29 PM