ORANG ramai mengunjungi tapak AmanahRaya di Pameran Hartanah My Rumah di SACC Mall, Shah Alam. FOTO Roslin Mat Tahir
ORANG ramai mengunjungi tapak AmanahRaya di Pameran Hartanah My Rumah di SACC Mall, Shah Alam. FOTO Roslin Mat Tahir
Norzamira Che Noh


ORANG ramai yang ingin membuat wasiat boleh mengambil peluang merebut diskaun penulisan wasiat sebanyak 35 peratus ditawarkan Amanah Raya Berhad (AmanahRaya) sehingga 31 Mac ini.

Pengurus Jabatan Jualan dan Pemasaran AmanahRaya, Mohd Yazid Shuaib berkata, kos penulisan wasiat asas yang diuruskan oleh AmanahRaya kebiasaannya sebanyak RM530.

“Promosi ini diadakan sempena Tahun Baharu Cina dan diadakan selama dua bulan. Pelanggan yang ingin membuat wasiat asas kini hanya perlu membayar sebanyak RM350.

“Sambutan baik diterima sepanjang promosi ini terutamanya bagi masyarakat bukan Bumiputera kerana mereka sedar mengenai kepentingan wasiat,” katanya ketika ditemui selepas sesi ceramah di Pameran Hartanah MyRumah, di Pusat Beli-Belah SACC di Shah Alam, hari ini.

Beliau berkata, kesedaran mengenai penulisan wasiat masih kurang memuaskan kerana stigma orang ramai terutamanya yang beragama Islam bahawa wasiat tidak menepati kehendak syarak.

Katanya, penulisan wasiat penting bagi memastikan kesinambungan pewarisan harta dan mengelakkan harta yang tidak dituntut.

“Jika wasiat tidak dibuat, harta terpaksa diuruskan sendiri oleh waris dan mereka terpaksa melalui beberapa proses panjang yang rumit kerana perlu berjumpa dengan pelbagai pihak serta agensi untuk proses pengesahan.

“AmanahRaya hanya mengambil masa tiga bulan untuk menyelesaikan proses wasiat jika dokumen lengkap dan tidak ada yuran tersembunyi dikenakan,” katanya.

Mohd Yazid turut menasihatkan orang ramai untuk membuat wasiat bagi memastikan tiada masalah mengenai pembahagian harta timbul seterusnya memberi masalah kepada waris yang ditinggalkan.

Selain itu, menurutnya, AmanahRaya mensasarkan sejuta penulisan wasiat tahun ini berbanding sejumlah kira-kira 980,000 penulisan pada tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Mac 2018 @ 7:43 PM