CHESTER Voo. FOTO BERNAMA
CHESTER Voo. FOTO BERNAMA
Samadi Ahmad

Putrajaya: Sebuah pesawat latihan jenis Diamond DA-42D 9M-HMY tersasar keluar dari landasan ketika melakukan pendaratan di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LTAL), Kedah, hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia Datuk Chester Voo berkata, kejadian berlaku pada jam 11.01 pagi ketika pesawat yang dikendalikan oleh dua juruterbang HM Aerospace Sdn Bhd hilang kawalan ketika mendarat.

Menurutnya, kedua-dua juruterbang tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, pesawat berkenaan dialihkan pada jam 12.05 tengah hari dan pemeriksaan penuh landasan dilakukan bagi memastikan keselamatan operasi lapangan terbang.

"Landasan LTAL dibuka semula pada jam 12.20 tengah hari dan siasatan lanjut dilaksanakan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara di bawah Kementerian Pengangkutan mengikut Bahagian XXVI Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016," katanya melalui kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, sebagai usaha mempromosikan keselamatan penerbangan, semua pengurus dan ketua pegawai eksekutif organisasi latihan penerbangan akan dipanggil untuk hadiri taklimat keselamatan.

Katanya, kesemua aspek keselamatan pesawat dalam ekosistem organisasi latihan penerbangan akan dikaji semula untuk penambahbaikan bagi meningkatkan lagi tahap piawaian keselamatan semua pihak dalam industri penerbangan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Ogos 2022 @ 2:05 PM