SIBU 26 MARCH 2016. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein Onn merasmikan Bas Sekolah Tentera sempena Majlis Ramah Mesra Bersama Warga ATM dan Perasmian Khidmat Bas Sekolah ATM di Kem Oya, Sibu. NSTP/MUHD ZAABA ZAKERIA
SIBU 26 MARCH 2016. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein Onn merasmikan Bas Sekolah Tentera sempena Majlis Ramah Mesra Bersama Warga ATM dan Perasmian Khidmat Bas Sekolah ATM di Kem Oya, Sibu. NSTP/MUHD ZAABA ZAKERIA
Shamran Sarahan

Sibu: Perdana Menteri melancarkan perkhidmatan bas sekolah buat Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan menyerahkan 176 bas bagi kemudahan anak tentera di negara ini.

Datuk Seri Najib Razak berkata, penyerahan bas itu bakal memberi manfaat kepada 11,275 anak tentera yang bersekolah di 76 kem tentera di seluruh negara.

Najib berkata, sepanjang 14 tahun menerajui Kementerian Pertahanan sebelum menjadi Perdana Menteri, kerajaan sentiasa memberi keutamaan dalam menjaga kebajikan anggota tentera.

"Tradisi itu diteruskan sehingga Datuk Seri Hishammuddin Hussein menjadi Menteri Pertahanan. Kerajaan tidak pernah abaikan kebajikan tentera, termasuk keluarga mereka.

"Kita tidak mahu ada keluarga anggota yang tidak terbela, malah kita tidak mahu lagi melihat anak tentera ke sekolah menaiki trak tentera. Oleh itu, kerajaan menyediakan bas sekolah untuk ATM yang sudah pun bermula sejak 1 Februari lalu," katanya ketika melancarkan perkhidmatan bas itu di Kem Oya, di sini, hari ini.

Selain Hishammuddin, majlis pelancaran itu turut dihadiri Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Wira Mohd Johari Baharum; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Abd Rahim Mohd Radzi; Menteri Kemajuan Tanah Sarawak, Tan Sri James Jemut Masing dan Panglima Tentera Darat Jeneral, Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

Pada majlis itu, Najib turut mengumumkan peruntukan khas RM500,000 bagi pelaksanaan projek penambaikan kemudahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Batu 10 yang terletak dalam kem berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Mac 2016 @ 2:53 PM