HISHAMMUDDIN  (kanan)  menyampaikan penghargaan kepada penyumbang Tabung Amanah Pendidikan Kementerian Pertahanan, wakil kepada Lembaga Tabung Angkatan Tentera, Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin.
HISHAMMUDDIN (kanan) menyampaikan penghargaan kepada penyumbang Tabung Amanah Pendidikan Kementerian Pertahanan, wakil kepada Lembaga Tabung Angkatan Tentera, Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin.
Mohd Sabran Md Sani

Kluang: Agenda Pendidikan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bukan bermusim namun pelaksanaannya dilihat sebagai pembelaan anak anggota tentera termasuk veteran.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, ia dibentangkan secara telus bagi memenuhi janji dan komitmen kerajaan kepada pasukan keselamatan berkenaan.

“Ia cukup bersejarah (blueprint) kerana apa yang kita bentang secara telus dan bukan bermusim.

“Ini janji dan ikrar kita. Ini janji dan komitmen kita kepada anggota ATM dan keluarga mereka dan mereka boleh pegang janji ini, malah sudah membuktikan selama ini ia berjalan,” katanya selepas melancarkan Blueprint Agenda Pendidikan Hala Tuju MINDEF 2018-2022 di Padang Kawad Batalion Ke-5 Rejimen Askar Melayu Diraja Kluang, semalam.

Majlis pelancaran blueprint menerusi Strategi Launtan Biru Kebangsaan (NBOS) itu membabitkan empat kementerian termasuk Kementerian Pendidikan, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah serta Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Masyarakat.

Hadir sama, Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Zulkiple Kassim, Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak dan Datuk Md Jais Sarday selaku wakil rasmi Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Hishammuddin berkata, agenda pendidikan itu akan diperluaskan ke seluruh negara dan sangat penting kerana ia pembelaan kepada anak anggota tentera.

Menurutnya, agenda pendidikan itu sudah dirancang pada tahun lalu dan akan serta sudah dilancarkan untuk memanfaatkan semua pihak berkepentingan.

“Bagi pihak ATM dan MINDEF, kehadiran dua menteri menunjukkan bukan secara peribadi, tetapi kesanggupan mereka bekerja rapat menjayakan agenda dan fokus membela anak warga ATM, MINDEF dan veteran.

“Ini menunjukkan MINDEF hari ini berada di atas landasan betul,” katanya.

Beliau berkata, MINDEF dan ATM terus komited memastikan agenda membela nasib dan kebajikan warga ATM, veteran ATM, warga awam kementerian itu dan ahli keluarga diperkukuh dari semasa ke semasa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 January 2018 @ 4:00 AM