Najib diiringi Hishammuddin  menghadiri  Majlis Ramah Mesra Bersama Warga ATM dan merasmikan  Khidmat Bas Sekolah ATM   di Kem Oya, Sibu, semalam.
Najib diiringi Hishammuddin menghadiri Majlis Ramah Mesra Bersama Warga ATM dan merasmikan Khidmat Bas Sekolah ATM di Kem Oya, Sibu, semalam.

Sibu: Perdana Menteri memberi jaminan kebajikan warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan terus diberi keutamaan oleh kerajaan bagi memastikan keamanan negara terus terpelihara.

Datuk Seri Najib Razak turut menyifatkan pelancaran Perkhidmatan Bas Sekolah Kepada Anak Anggota ATM semalam juga boleh dijadikan bukti keprihatinan dan komitmen kerajaan memastikan kebajikan mereka terjaga.

Beliau berkata, pegawai dan anggota tentera lebih bersemangat menjalankan tanggungjawab apabila kebajikan mereka dan keluarga terjamin.

“Ketika menjadi Menteri Pertahanan selama 14 tahun, saya sentiasa utamakan kebajikan dan keperluan tentera. Tradisi ini diteruskan Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

“Saya percaya, kalau kerajaan mahu memastikan benteng negara kuat, justeru kita mesti memastikan kebajikan tentera ini terbela, bahkan kerajaan mesti memastikan keluarga mereka turut terbela,” katanya ketika melancarkan perkhidmatan itu di Kem Oya di sini, semalam.

Selain Hishammuddin, majlis pelancaran itu turut dihadiri Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Wira Mohd Johari Baharum, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Seri Abd Rahim Mohd Radzi dan Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

Dalam majlis pelancaran itu, Najib mengumumkan pemberian 176 bas sekolah yang bakal memberi manfaat kepada 11,275 anak anggota ATM di 76 kem tentera di seluruh negara. Perkhidmatan bas sekolah itu bermula sejak 1 Februari lalu.

Dalam pada itu, Najib turut mengingatkan anggota ATM supaya tidak hanya memberi tumpuan terhadap keselamatan negara semata-mata, sebaliknya perlu memastikan kestabilan politik di negara ini terus terjamin.

Menurut beliau, ATM turut memainkan peranan untuk bersama kerajaan bagi memastikan kestabilan politik di negara ini bagi meneruskan kesinambungan pemerintahan.

“Kalau hendak diberi perumpamaan, keselamatan negara ini ‘adik kembarnya’ kestabilan politik. Kalau kita jaga keselamatan tetapi politik tidak dijaga, negara ini hancur dan huru-hara seperti negara Arab Spring yang terus terumbang-ambing.

“Keselamatan dan kestabilan politik ini perlu bergerak seiringan. Barulah kerajaan dapat jalankan tugas dengan sempurna, begitu juga tentera sebagai benteng pertahanan negara,” katanya.

Pada majlis itu, Najib turut mengumumkan peruntukan khas RM500,000 bagi pelaksanaan projek penambahbaikan kemudahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Batu 15, Kem Oya, di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Mac 2016 @ 8:10 AM