KAR Meng (kiri) ketika sidang media selepas kepulangannya. FOTO Twitter BERNAMA
KAR Meng (kiri) ketika sidang media selepas kepulangannya. FOTO Twitter BERNAMA
BERNAMA

Ipoh: Seorang lelaki yang terkandas di Kemboja akibat ditipu sindiket yang menjanjikan tawaran pekerjaan sebagai pelayan kasino, selamat pulang ke tanah air semalam selepas dibebaskan sindiket tersebut.

Lee Kar Meng, 32, berkata sindiket tersebut melepaskannya pulang selepas terkejut menemukan gambar dan video satu sidang media berkaitan kejadian menimpanya yang disiarkan menerusi Facebook MCA Perak, Mei lalu.

Menurut Lee, beliau dijanjikan sebagai pekerja kasino namun sebaik tiba Kemboja pada Januari tahun lepas, sindiket itu memaksanya menjadi ahli sindiket dalam talian dengan tawaran gaji sebanyak US$600 yang hanya dibayar pada bulan pertama sahaja.

"Saya dipaksa terus bekerja tanpa kerelaan dan gaji sehingga kisah saya mendapat perhatian ahli keluarga dan Biro MCA Perak. Saya dihalau oleh sindiket tersebut selepas mereka ternampak sidang media mengenai kes saya dan mangsa dari negara lain dua bulan lepas.

"Dengan berbekalkan beberapa baju, telefon bimbit dan kad pengenalan, saya terus ke balai polis berhampiran lokasi saya dikurung untuk membuat laporan sebelum ditahan selama dua bulan di Imigresen Kemboja dan akhirnya berjaya pulang ke sini semalam," katanya dalam sidang media hari ini.

Beliau menyifatkan kejadian itu sebagai pengalaman pahit dan menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan tawaran gaji lumayan daripada pihak tidak dikenali.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Ogos 2022 @ 8:01 PM