TUJUH lelaki dan seorang wanita warganegara Indonesia yang dibawa oleh seorang lelaki tempatan bersama lelaki Indonesia ditahan di dalam sebuah van di sekitar kawasan Melikin, Serian. FOTO Ihsan PGA
TUJUH lelaki dan seorang wanita warganegara Indonesia yang dibawa oleh seorang lelaki tempatan bersama lelaki Indonesia ditahan di dalam sebuah van di sekitar kawasan Melikin, Serian. FOTO Ihsan PGA
Melvin Joni

Kuching: Cubaan seorang lelaki tempatan dan seorang lelaki Indonesia menyeludup masuk tujuh lelaki dan seorang wanita warganegara Indonesia ke negeri ini gagal apabila ditahan oleh anggota Batalion 11 Pasukan Gerakan Am (PGA) yang menjalankan Op Benteng.

Komander PGA Briged Sarawak Senior Asisten Komisioner (SAC) Saini Bongkek berkata kesemua mereka yang berusia antara 17 hingga 52 tahun itu ditahan di dalam van di sekitar kawasan Melikin, Serian kira-kira jam 6 petang semalam.

"Pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua lelaki tempatan dan Indonesia itu dipercayai tekong dan membawa lapan individu itu yang tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menjelas lanjut, beliau berkata hasil siasatan mendapati lelaki tempatan itu berperanan sebagai 'transporter' serta tekong darat yang mengambil dan menghantar Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) ke destinasi yang ditetapkan sindiket.

"Mereka ini dipercayai menerima bayaran purata RM1,800 bagi setiap 'trip' mengikut jarak ke destinasi dengan membawa PATI yang menyelinap masuk ke sempadan negara melalui pelbagai cara termasuklah berjalan kaki dan menaiki kenderaan.

"Sindiket juga sering mengubah modus operandi bagi membawa PATI terutamanya diuruskan oleh dalang di negara jiran, Indonesia dan menggunakan rangkaian di Malaysia bagi mengatur perjalanan dan tempat transit sementara," katanya.

Selain itu, beliau berkata mereka juga licik kerana sentiasa memantau keadaan kawalan sekeliling dan mengetahui pergerakan pasukan keselamatan yang bertugas di kawasan sempadan.

"Bahagian Kuching, Serian dan Sri Aman adalah antara lokasi panas kemasukan PATI.

"Ia disebabkan beberapa faktor seperti terdapatnya permintaan yang tinggi dan peluang pekerjaan yang luas dalam sektor pembuatan, perladangan, dan pembinaan serta lain-lain faktor penarik yang boleh menjamin kehidupan yang selesa dan selamat kepada mereka," katanya.

Sementara dalam tangkapan berasingan, Saini berkata sepasukan polis dari Task Force Op Benteng Covid Batalion 10 PGA, Sibu turut menahan sebelum mengusir tiga lelaki Indonesia berumur 27 hingga 34 tahun di sekitar kawasan Wong Pandak, Lubok Antu.

Katanya ketiga-tiga PATI itu ditahan ketika sedang berjalan kaki di sekitar jalan ladang dalam keadaan mencurigakan, kira-kira jam 6.55 pagi hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 September 2021 @ 6:13 PM