EMPAT Pati yang bersembunyi di bahagian ruang rehat di belakang tempat duduk pemandu. FOTO Melvin Joni
EMPAT Pati yang bersembunyi di bahagian ruang rehat di belakang tempat duduk pemandu. FOTO Melvin Joni
Melvin Joni


Kuching: Cubaan seorang lelaki menyeludup masuk empat pendatang asing tanpa izin (Pati) menggunakan lori tangki gagal apabila ditahan di Jalan Serian-Sri Aman, di sini, pagi hari ini.

Kegiatan lelaki tempatan itu dikesan oleh sepasukan polis daripada Task Force Skuadron Perisai 11, Pasukan Gerakan Am (PGA) dengan dibantu oleh pasukan Task Force, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian, sekitar 8.15 pagi.

Ketua Polis Daerah Serian Deputi Superintendan Aswandy Anis berkata, pemeriksaan dilakukan ke atas lori tangki dipandu lelaki berusia 34 tahun itu, menemukan empat Pati warga Indonesia bersembunyi di bahagian ruang rehat di belakang tempat duduk pemandu.

"Suspek dipercayai cuba menghantar kesemua Pati terbabit ke ladang sawit Selangau," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, dua lelaki dan dua wanita warga Indonesia berusia dalam lingkungan 27 tahun hingga 48 tahun terbabit gagal menunjukkan dokumen perjalanan yang sah dan memasuki negara ini menggunakan jalan tikus.

Sehubungan itu, Aswandy berkata, suspek bersama kesemua Pati terbabit dibawa ke IPD Serian untuk siasatan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007 dan Akta Imigresen 1959/63.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Ogos 2021 @ 7:26 PM