Seramai 10 Pati warganegara Indonesia yang ditahan ketika cuba diseludup masuk ke negeri ini oleh seorang lelaki tempatan. FOTO MELVIN JONI
Seramai 10 Pati warganegara Indonesia yang ditahan ketika cuba diseludup masuk ke negeri ini oleh seorang lelaki tempatan. FOTO MELVIN JONI
Melvin Joni


Kuching: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 8 tahun antara 10 pendatang asing tanpa izin (Pati) warganegara Indonesia yang ditahan ketika cuba diseludup masuk ke negeri ini oleh seorang tekong tempatan.

Komander Pasukan Gerakan Am (PGA) Sarawak Senior Asisten Komisioner Mancha Ata berkata, semua Pati termasuk tekong terbabit ditahan pasukan Task Force Op Benteng Covid-19 Batalion 12 PGA hasil pemeriksaan ke atas sebuah van di tepi jalan Kampung Tesu Kura, Tebedu, 8 malam kelmarin.

"Pemeriksaan di dalam van itu mendapati lelaki tempatan disyaki sebagai tekong membawa enam lelaki, seorang kanak-kanak dan tiga wanita warganegara Indonesia," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata kesemua yang ditahan adalah berumur antara 8 hingga 33 tahun itu diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian untuk tindakan lanjut.

Dalam kes berasingan, Mancha berkata, pasukankannya juga berjaya merampas 395 kotak minuman keras pelbagai jenama yang diseludup dianggarkan bernilai RM145,746 selepas menahan sebuah lori dipandu lelaki tempatan berusia 50 tahun di Ladang Sawit Kampung Raso, Lundu jam 5.30 petang kelmarin.

Katanya, dalam satu lagi serbuan dilakukan Unit Risik Batalion 11 PGA pihaknya merampas selaras senapang patah jenis Steven (US 3210) beserta empat butir peluru hidup hasil pemeriksaan ke atas dua lelaki tempatan dalam sebuah kenderaan di hadapan premis di Simpang 3 Kedup 2 Jalan Mentung-Sangai, Serian kira-kira jam 10.28 malam semalam.

Katanya, kedua-dua lelaki berusia 49 dan 55 tahun itu turut ditahan mereka kini disiasat mengikut Seksyen 8 (A) Akta Senjata Api 1960.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Mac 2021 @ 3:46 PM