POLIS menahan seorang lelaki bersama enam Pati warga Indonesia dalam serbuan di kawasan Parit Amat Laut, Parit Jawa. Foto Ihsan PDRM
POLIS menahan seorang lelaki bersama enam Pati warga Indonesia dalam serbuan di kawasan Parit Amat Laut, Parit Jawa. Foto Ihsan PDRM
Essa Abu Yamin

Muar: Polis menahan seorang lelaki tempatan disyaki tekong darat bersama enam pendatang asing tanpa izin (Pati) warga Indonesia dalam serbuan di Parit Amat Laut, Parit Jawa dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, Operasi Pintas Bersepadu berkenaan dilakukan Pasukan Unit Risik Marin Wilayah 2 bersama Task Force Bahagian Siasatan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar dan Batalion 6 Pasukan Gerakan Am (PGA) Bakri ke atas sebuah kenderaan pada jam 10 malam.

"Suspek berusia 39 tahun itu dipercayai bertindak sebagai tekong dan terbabit dengan penyeludupan migran.

"Tangkapan turut dilakukan terhadap empat orang lelaki dan dua orang wanita warga Indonesia berumur lingkungan 25 hingga 59 tahun yang didapati tiada dokumen perjalanan yang sah," katanya dalam kenyataan.

Menurut Raiz, kesemua Pati berkenaan dipercayai baru sahaja sampai ke daratan dengan menaiki bot dari Bengkalis, Indonesia.

"Kesemua mereka ditahan ketika pasukan operasi sedang melakukan rondaan menyedari terdapat sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan.

"Sebuah kereta Nissan Sentra turut dirampas dalam serbuan berkenaan bagi tujuan siasatan," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63.

"Polis menggalakkan orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan mahupun sindiket pemerdagangan orang dan penyeludupan migran dengan menyalurkan maklumat kepada pihak polis melalui Bilik Gerakan IPD Muar di talian 06-9526001," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Oktober 2022 @ 5:11 PM