ORANG ramai menyaksikan pelancaran Long-March 5B yang membawa modul pertama CCS dari tapak pelancaran di Hainan. FOTO AFP
ORANG ramai menyaksikan pelancaran Long-March 5B yang membawa modul pertama CCS dari tapak pelancaran di Hainan. FOTO AFP
Agensi

Washington: Serpihan roket Long-March 5B milik China yang berjaya membawa modul pertama untuk Stesen Angkasa Lepas China (CCS) ke orbit, minggu lalu, dijangka terhempas ke bumi.

Lazimnya, roket tidak mencapai halaju diperlukan untuk mencapai orbit, tetapi ia kini mengelilingi bumi setiap 90 minit atau tujuh kilometer setiap saat.

Ia melepasi utara New York, Madrid, dan Beijing, sehingga ke Chile dan New Zealand.

Tidak dipastikan lokasi roket yang sudah tidak dikawal itu akan terhempas.

CNN melaporkan ia bukan kejadian kali pertama serpihan kapal angkasa lepas terhempas ke bumi.

Tahun lalu, salah satu serpihan kapal angkasa melepasi melepasi Los Angeles dan New York sebelum jatuh di Lautan Altantik.

Bagaimanapun, Long-March 5B yang seberat 20 tan adalah serpihan angkasa lepas paling besar yang akan jatuh ke bumi, sejak 1991, dan keempat terbesar dalam sejarah.

Terdapat kebimbangan ia akan terhempas di penempatan penduduk.

The Independent melaporkan kelajuan roket itu bermakna saintis tidak tahu bila ia akan terhempas, tetapi ia hampir pasti berlaku sebelum 10 Mei ini.

Media sebelum ini melaporkan China berjaya melancarkan modul pertama stesen angkasa lepasnya pada Khamis dengan menggunakan Long-March 5B

Modul teras Tianhe itu mempunyai peralatan sokongan hayat dan ruang tempat tinggal untuk angkasawan dilancarkan dari wilayah Hainan.

Stesen angkasa lepas Tiangong yang bermaksud Istana Syurga itu dijangka akan beroperasi pada 2022 selepas kira-kira 11 misi lagi untuk menghantar modul lain dan memasangnya di orbit.

Selepas lengkap, ia adalah seberat 90 tan atau kira-kira satu perempat daripada saiz Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS).

ISS yang juga kerjasama antara AS tidak akan digunakan selepas 2024, meskipun Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Amerika Syarikat (NASA) menyatakan ia boleh beroperasi sehingga selepas 2028.

Selepas ketiadaan ISS, stesen angkasa lepas China itu mungkin menjadi satu-satunya stesen angkasa lepas yang mengorbit bumi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Mei 2021 @ 11:44 AM