ANTARA barangan yang dirampas. FOTO Ihsan PDRM
ANTARA barangan yang dirampas. FOTO Ihsan PDRM
Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Polis mematahkan sindiket penyeludupan melalui beberapa operasi dengan lima serbuan dan rampasan mencecah RM7.5 juta bermula Januari hingga hari ini.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA), Datuk Hazani Ghazali berkata, operasi itu dijalankan melalui sel risikan dan siasatan khas iaitu Cawangan Perisikan/ Siasatan Khas (CPSK).

Menurutnya, Pasukan Gerakan Khas (PGK) terus tegas dan komited dalam membanteras sindiket penyeludupan kontraban dan hidupan liar melalui Op Kontraban dan Op Bersepadu Khazanah (OBK).

"Bagi kes pertama pada 20 Januari lalu, pasukan serbuan menahan tiga lelaki dewasa dan merampas 6,630 batang rokok seludup pelbagai jenama bernilai RM1.9 juta serta empat kenderaan.

"Menerusi tangkapan itu, satu sindiket penyeludupan dan pengedaran rokok di Terengganu berjaya ditumpaskan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Hazani berkata, kes kedua pada 9 Februari lalu yang mana empat lelaki dewasa ditahan, dan merampas 150 liter diesel bersama sebuah kenderaan lori bernilai RM100,500 di Selangor.

"Kesemua suspek bersama barang rampasan itu ditahan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

"Bagi kes ketiga pada hari sama pula, empat lelaki ditahan dan 13 kilogram (kg) daging hidupan liar bernilai RM1,200 yang dijual di premis menjual makanan di Selangor, dirampas.

"Operasi OBK dengan kerjasama bersama Jabatan Perhilitan ini dilaksanakan bagi memastikan khazanah negara sentiasa dilindungi," katanya.

Beliau berkata, kes keempat di bawah Op Kontraban dilakukan hari ini pula menumpaskan sindiket memproses dan membekalkan minum keras tiruan yang beroperasi di Johor.

"Dalam serbuan itu, seorang lelaki ditahan, dan kami merampas 2,096 liter cecair yang dipercayai arak tiruan bernilai lebih RM580,000.

"Turut dirampas peralatan memproses arak tiruan seperti mesin pengedap penutup botol dan mesin penyedut air," katanya.

Katanya, bagi kes terbaru yang dilaksanakan oleh CPSK dalam Op Kontraban hari ini, seorang lelaki dewasa berusia 34 tahun ditahan dalam serbuan di Sri Petaling.

"Sebanyak 24 juta batang rokok pelbagai jenama dirampas bersama sebuah kenderaan.

"Kes ini adalah rampasan terbesar bagi CPSK, PGK bagi awal tahun ini dengan nilai rampasan lebih RM5.06 juta," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Februari 2022 @ 9:44 PM