GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Baharom Bakar

am@@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Terengganu tetap melarang lelaki berusia bawah 18 tahun dan perempuan berusia bawah 16 tahun untuk berkahwin di negeri ini kecuali dengan kebenaran hakim syarie.

Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT), M Rozi Bidin berkata, seramai 61 pasangan lelaki dan perempuan berusia bawah 18 dan 16 tahun diberi kebenaran berkahwin sejak 2016.

Katanya, perkahwinan pasangan itu diberi kebenaran secara bertulis oleh hakim syarie disebabkan beberapa keadaan.

"Bermula 2016 hingga tahun lalu, seramai 61 pasangan diluluskan oleh mahkamah syarie untuk diakad nikah.

"Seramai 17 pasangan diakad nikah pada 2016, 2017 (16), 2018 (18), 2019 (18) dan masing-masing lima pasangan pada 2020 dan 2021," katanya ketika ditemui di pejabatnya, di sini, hari ini.

Difahamkan, seramai 320 perempuan berusia bawah 16 tahun dan 284 lelaki berusia bawah 18 tahun mengemukakan permohonan untuk berkahwin bermula 2016 hingga tahun lalu.

Bagaimanapun, katanya, hanya 61 pasangan diberi kebenaran untuk diakad nikah mengikut Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2017 oleh mahkamah syariah.

Berdasarkan rekod dikeluarkan mahkamah syariah, ada antara perempuan berusia 13 tahun mengemukakan permohonan untuk berkahwin.

Mengulas lanjut, M Rozi berkata, JHEAT hanya melakukan akad nikah pasangan lelaki berusia bawah 18 tahun dan perempuan berusia bawah 16 tahun selepas mendapat kebenaran daripada hakim syarie.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Julai 2022 @ 11:49 AM