Suriany Awaludin

Saya penuntut universiti awam yang sudah mengikat tali pertunangan sejak setahun lalu. Sekarang, saya dan tunang berada pada tahun dua pengajian.

Tunang mengajak saya berkahwin bimbang terjerumus maksiat kerana kami kerap berjumpa.

Kami merancang untuk menggunakan khidmat ‘wali enggan’ kerana hasrat untuk berkahwin ditentang ibu bapa yang mahu saya menghabiskan pengajian serta bekerja dahulu sebelum berkahwin.

Saya faham ibu bapa risau masa depan saya memandangkan kami masih belajar. Adakah wajar menggunakan khidmat wali enggan kerana kami berhasrat mengakhiri ikatan ini secara baik.

Gadis Runsing, Kuala Lumpur

Berdasarkan pengamatan saya mengendalikan kes membabitkan pengesahan nikah secara poligami tanpa kebenaran atau pernikahan tidak mendapat persetujuan wali serta ahli keluarga, masyarakat kurang pengetahuan mengenai kedudukan dan keperluan wali dalam akad nikah mereka.

Bagi mereka pernikahan itu cukup dijalankan secara ‘biasa’ seperti dilakukan pasangan lain. Apabila dipersoalkan, mereka hanya faham rukun dan syarat nikah manakala jawapan yang diberikan amat mengecewakan dan sangat kurang yang benar-benar memahami kedudukan wali.

Wali sendiri kurang jelas kedudukan mereka dan mengambil sikap sambil lewa. Namun, ada juga wali tidak bertindak rasional apabila anak perempuan atau orang yang berada di bawahnya menyatakan hasrat untuk berkahwin.

Mereka menentang hasrat anak tanpa mengemukakan alasan yang wajar diterima oleh syarak. Situasi itu sebenarnya bertitik tolak kepada kefahaman mengenai keharusan perkahwinan serta keperluan memenuhi rukun dan syaratnya.

Keengganan menjadi wali menyebabkan ada pasangan bernikah tanpa kebenaran pihak berkuasa dan melangsungkan perkahwinan di luar negara terutamanya di sempadan Thailand.

Kebanyakan pernikahan yang dilangsungkan di sana menggunakan khidmat wali hakim atau wali am. Ulama fiqh terkenal, Wahbah al-Zuhayli mendefinikan perwalian dengan maksud kuasa yang membolehkan seseorang melakukan akad atau membelanjakan harta tanpa keizinan orang lain.

Wali hakim ialah sultan yang pemerintah sebuah negara Islam atau naibnya iaitu hakim atau kadi atau sesiapa saja yang diberikan kuasa oleh sultan bagi mewakilinya untuk bertindak sebagai wali nikah kepada perempuan yang tiada wali untuk melangsungkan pernikahan.

Merujuk kepada Kamus Istilah Undang-Undang Keluarga Islam ditulis Dr Zaleha Kamaruddin dan Raihanah Abdullah, wali enggan atau wali ‘adhal ialah wali yang diminta seseorang perempuan untuk menikahkannya dengan seorang lelaki sekufu dan dia enggan menikahkannya tanpa alasan.

Dalam hal itu, hakim atau kadi berhak menikahkannya selepas ternyata kedua-duanya sekufu dan wali itu diberi nasihat supaya menarik balik keengganannya itu.

Sekiranya wali masih enggan, hakim berhak menikahkan perempuan berkenaan sama seperti wali aqrabnya yang ghaib. Itulah pendapat mazhab Syafie dan Abu Hanifah.

Ulama lain berpendapat, perempuan itu boleh dinikahkan wali yang lebih jauh hubungannya (wali ab’ad). Para fuqaha sependapat, wali tidak boleh enggan menikahkan perempuan yang dalam kewaliannya, tidak boleh menyakitinya atau melarangnya berkahwin sekiranya pilihannya memenuhi kehendak syarak.

Dalam sebuah hadis riwayat at-Tirmizi dan Hakim: “Ada tiga perkara yang tidak boleh ditangguhkan iaitu solat apabila sudah masuk waktunya, jenazah apabila terlantar dan wanita janda yang bertemu jodohnya.”

Menurut jumhur fuqaha (Syafie, Maliki dan Hanbali) apabila wali aqrab enggan menikahkan pengantin perempuan, maka wali hakimlah yang menikahkannya.

Sehubungan itu, saya mencadangkan supaya saudari berusaha cara yang lebih baik untuk mendapatkan keizinan serta restu kedua-dua ibu bapa.

Sebagai anak lebih wajar saudari berusaha dahulu sebelum tiba masanya untuk menyaman bapa atau wali ke mahkamah.

Selepas bapa disaman di mahkamah, percayalah akan terbit kesedihan di hati ibu bapa. Pasangan kita baru hadir dalam hidup untuk beberapa tahun berbanding ibu bapa sendiri.

Buat perancangan terbaik untuk memujuk serta mendapatkan restu mereka. Tunjukkan kesungguhan dan persediaan mantap saudari dan tunang bagi menghadapi alam rumah tangga.

Jika segala usaha dan kesabaran saudari gagal menyelesaikan masalah, bolehlah saudari merujuk ke mahkamah untuk mendapatkan perintah supaya pernikahan dapat dijalankan menggunakan wali hakim.

Ini diperuntukkan dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri-Negeri di bawah Seksyen 13.

Sesuatu perkahwinan tidak diakui dan tidak boleh didaftarkan di bawah enakmen itu melainkan jika kedua-dua pihak bersetuju terhadapnya dan sama ada:

a. Wali pihak perempuan bersetuju terhadap perkahwinan itu mengikut hukum syarak atau,

b. Hakim Syarie yang mempunyai bidang kuasa di tempat di mana pihak perempuan itu bermastautin atau mana-mana orang yang diberi kuasa secara am atau khas bagi maksud itu oleh Hakim Syarie itu selepas penyiasatan wajar di hadapan semua pihak yang berkenaan, ia memberikan persetujuannya untuk perkahwinan itu diakadnikahkan oleh wali raja mengikut Hukum syarak. Persetujuan boleh diberikan jika perempuan itu tidak mempunyai wali daripada nasab mengikut hukum syarak atau jika wali tidak dapat ditemui atau jika wali enggan memberikan persetujuannya tanpa sebab yang mencukupi.

Penulis ialah peguam syarie

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Ogos 2018 @ 11:58 AM