ANTARA pasangan pengantin yang diraikan secara serentak di Wisma Darul Iman. FOTO Mohd Syafiq Ridzuan Ambak
ANTARA pasangan pengantin yang diraikan secara serentak di Wisma Darul Iman. FOTO Mohd Syafiq Ridzuan Ambak
Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Seramai 217 pasangan pengantin Transformasi Terengganu Baru (TTB) diraikan secara serentak di lapan daerah pada Majlis Resepsi Keluarga Generasi TTB Perkahwinan Perdana 2016 di sini, hari ini.

Daripada jumlah itu, 33 pasangan dari Kuala Terengganu, Kuala Nerus (37), Kemaman (27), Dungun (25), Marang (29), Hulu Terengganu (21), Setiu (22) dan Besut (23).

Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman berkata, semua perbelanjaan perkahwinan termasuk pakaian, jamuan akad nikah dan resepsi pengantin TTB ditanggung oleh kerajaan negeri.

"Selain diraikan dalam majlis ini, setiap pasangan pengantin juga mendapat Sijil Simpanan Premium (SSP) sebanyak RM1,000, kemudahan pinjaman modal berniaga dan keutamaan mendapat rumah mampu milik dalam tempoh lima tahun perkahwinan.

"Semua pengantin TTB ini dipilih dalam kalangan anak muda berusia antara 18 hingga 30 tahun daripada golongan berpendapatan rendah iaitu RM3,000 ke bawah bagi meringankan beban dan memudahkan mereka berkahwin.

"Sebelum ini, semua pengantin sudah diakad nikah pada 14 Mei lalu secara serentak di lapan daerah.

"Apa yang diharapkan, program perkahwinan perdana ini dapat mencapai matlamatnya untuk membantu keluarga, ibu bapa yang berkemampuan mengadakan majlis kahwin serta meningkatkan bilangan rakyat Terengganu," katanya pada majlis itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Mei 2016 @ 2:12 PM