Sharifah Shawati.
Sharifah Shawati.
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Bekas personaliti TV3, Sharifah Shawati Syed Mohd berharap semoga Allah SWT mempermudahkan penemuan semula rakan seperjuangan ketika bertugas di TV3, Zalina Azman yang dilaporkan hilang kira-kira lapan bulan lalu.

Sharifah Shawati dihubungi berkata dia juga berdoa semoga Allah turut melindungi Zalina atau mesra disapanya dengan panggilan Zal, walau di mana jua berada serta di dalam apa juga situasi yang dialaminya sekarang.

"Insya-Allah, saya pasti dia (Zalina) akan ditemui. Dalam hal ini, kita sebagai rakan seperjuangan akan menolong apa yang terdaya dan perlu untuk membantu siasatan serta memberi kerjasama, termasuk yang paling penting berdoa.

"Semalam pun, semua rakan yang mengenali Zal ada membuat majlis bacaan Yassin secara virtual di Zoom yang disertai ahli keluarganya juga. Malah, sahabat kami, Senator Datuk Ras Adiba Radzi turut melakukan pencarian di kawasan Shah Alam, malam tadi," katanya.

Sharifah Shawati berkata, dia yang sedih dengan berita kehilangan Zalina itu sudah lama tidak menemui rakannya itu.

Katanya, apa yang diketahui Zalina juga sudah berkahwin baharu selepas meninggalkan TV3 dan memberi fokus kepada perniagaan diusahakannya.

"Selepas tinggalkan TV3, dia memang nak 'a low profile life' sebab dia sudah berkahwin dan dapat anak baru serta fokus pada perniagaan dan hal-hal keagamaan. Apatah lagi, dia juga sudah berhijab.

"Zalina yang saya kenal, dia memang professional and 'very intelligent person'.We clicked in TV3 because of that. Dan, dia memang tak suka heboh-heboh sangat tentang hal peribadi dia," katanya lagi.

Mengimbau kenangan lalu mereka, Sharifah Shawati yang berkongsi keratan akhbar Harian Metro yang masih disimpannya, menunjukkan foto dia dan Zalina yang bergambar bersebelahan.

"Sedih tengok gambar lama ini. Apatah lagi, scarf yang saya pakai di leher itu adalah hadiah daripada Zal sempena hari jadi saya pada masa itu. Semalam pun, sebak juga tengok muka emak dia yang amat sedih.

"Saya tak boleh bayangkan kesedihan yang dirasakan oleh emaknya kini. Apapun, semuanya ada jalan penyelesaian. Saya harap dia ingat semua yang berlaku ini pun datangnya daripada Allah," katanya.

Kelmarin, pihak media melaporkan polis giat mencari Zalina yang dilaporkan hilang sejak November tahun lalu.

Sebelum ini, pihak polis menerima laporan daripada anak lelaki Zalina, Mikhael Norman berhubung kehilangan ibunya itu pada 29 November tahun lalu.

Zalina dilaporkan hilang selepas Mikhael gagal menghubunginya sejak 24 November 2021 bagi memaklumkan bapa personaliti televisyen itu dimasukkan ke hospital.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Julai 2022 @ 3:15 PM