RAS Adiba. FOTO BERNAMA
RAS Adiba. FOTO BERNAMA
Sudirman Mohd Tahir

Kuala Lumpur: "Saya cuma mohon, kita semua doakan agar Zalina (Zalina Azman) selamat."

Demikian kata Senator Datuk Ras Adiba Radzi mengenai spekulasi yang ditimbulkan dalam kalangan warga net susulan kehilangan bekas personaliti TV3, Zalina Azman seperti dilaporkan media.

Antara yang diperkatakan apabila mendakwa Zalina mengalami masalah kesihatan mental, diculik dan banyak lagi.

Ras Adiba yang juga rakan baik Zalina ketika dihubungi mengetahui mengenai spekulasi berkenaan."Saya pun ada mendengar juga banyak spekulasi orang terhadap Zalina, tapi kita tidak ada hak untuk menilai apa-apa. Kita tidak tahu ceritanya. Nanti kita jumpa barulah kita bertanya dengan dia," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Ras Adiba, dia akan meneruskan pencarian Zalina walau di mana jua dia berada.

"Kelmarin saya dipanggil ke Shah Alam sebab ada seseorang yang dikatakan mungkin dia (Zalina). Saya pergi ke sana dengan suami. Alhamdulillah, di sana saya dapat bertemu dengan anak dan juga abang Zalina.

"Menurut laporan yang diterima bahawa wanita itu dijumpai di Sentul, kemudian dia dibawa ke Shah Alam dan kami semua dijemput untuk cuba mengecam dia. Tetapi itu bukan dia.

"Semalam adalah hari kelima (pencarian), mana-mana saya pergi pun, saya akan cari Zalina. Jadi, pencarian akan diteruskan. Saya akan terus mencari dia, tak kisahlah berapa lama dan sejauh mana," katanya.

Sebelumnya, beberapa hari lalu Ras Adiba ditemani beberapa kru program terbitan TV3, 999 meninjau lokasi pejabat dan studio lama TV3 di Jalan Liku, Bangsar, di sini, iaitu tempat mereka sama-sama bertugas dahulu.

Kehilangan Zalina atau nama sebenarnya, Zalina Shaharah Azman hangat diperkatakan selepas tersebar berita polis menerima laporan anak lelaki Zalina, Mikhael, 33, mengenai kehilangan ibunya pada 29 November tahun lalu.

Zalina dilaporkan hilang selepas Mikhael gagal menghubunginya sejak 24 November tahun lalu bagi memaklumkan bapanya dimasukkan ke hospital.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Julai 2022 @ 1:48 PM