Ras Adiba bersama Zalina
Ras Adiba bersama Zalina
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: "Saya tidak akan berputus asa. Sekiranya Zal membaca mesej ini, tahulah yang Deep rindu kat Zal dan harap Zal akan cari Deep. Telefon Deep ya Zal. Pulanglah," tulis Senator Datuk Ras Adiba Radzi di Instagram.

Biarpun sudah memasuki lembaran tahun 2023, tetapi misteri kehilangan bekas personaliti TV3, Zalina Azman sejak lebih setahun lalu masih kekal menjadi tanda tanya dan dirindui kenalan terdekat.

Ras Adiba, 55, yang juga sahabat baik Zalina berkata dia masih optimis dan berharap wanita berusia 60 tahun itu kembali ke pangkuan keluarga.

"Zal (panggilan Zalina) masih belum kami temui. Banyak yang diperkatakan dan berita palsu berleluasa. "Tetapi saya tidak akan berputus asa. Sekiranya Zal membaca mesej ini, tahulah yang Deep rindu kat Zal dan harap Zal akan cari Deep," tulisnya.

Dalam hantaran berasingan, Ras Adiba memuat naik video kompilasi foto rakannya itu dengan berharap Zalina akan pulang kembali.

Pada Julai tahun lalu, Ras Adiba menjalankan misi pencarian personaliti TV itu di sekitar Shah Alam dengan ditemani suami Mohamed Azam Ali, teman rapat, Juita Jalil dan seorang kru TV3.

Pada operasi hari pertama, mereka meronda selama enam jam bermula dari jam 6 petang sehingga 11 malam. Mereka meronda di sekitar kediaman Zalina di Jalan Ketiau, Seksyen 3, Bulatan Kayangan dan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam bagi mencari petunjuk di mana sahabatnya menghilangkan diri.

Terdahulu, pemilik nama sebenar Zalina Shaharah Azman dilaporkan hilang sejak November 2021, apabila anak lelakinya, Mikhael Norman, 34, membuat laporan polis berhubung kehilangan ibunya pada 29 November tahun lalu.

Zalina dilaporkan hilang selepas Mikhael gagal menghubunginya sejak 24 November 2021 bagi memaklumkan bapanya dimasukkan ke hospital.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 January 2023 @ 2:37 PM