Raja Noraina Raja Rahim dan Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kuala Lumpur: Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan mengakui tiada maklumat berhubung penahanan individu termasuk ahli MIC berhubung isu tuntutan palsu dan penyelewengan dana Program Insentif Pengambilan Pekerja (PenjanaKerjaya).

Beliau yang juga Timbalan Presiden MIC berkata, ini kerana penahanan berkenaan terletak di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Tiada operasi (SPRM) di Kementerian Sumber Manusia. Saya sudah kata semalam yang saya tidak ada laporan, tetapi cuma kata sekiranya ada orang MIC kena tangkap, jangan kaitkan dengan MIC.

"Setakat ini, saya tak ada maklumat... siapa kena tangkap dan siapa belum ditangkap. Sila minta dekat SPRM, saya tak ada jawapan," katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia Mengenai Pengurusan Pekerja Asing di Bukit Aman, di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Sebelum ini, SPRM dilaporkan sudah menahan 42 individu termasuk dua individu yang ditahan, semalam bagi membantu siasatan berhubung penyelewangan dana PenjanaKerjaya selepas menyiasat beberapa syarikat dan individu selain dijangka membuat beberapa tangkapan lain menerusi Ops Hire.

Terdahulu, SPRM dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) melancarkan Ops Hire bagi menyiasat isu tuntutan palsu dan penyelewengan dana insentif PenjanaKerjaya di beberapa negeri.

Operasi berkenaan dikendalikan Ibu Pejabat SPRM bersama-sama SPRM negeri dijalankan secara serentak.

Program PenjanaKerjaya antara inisiatif kerajaan bagi membantu majikan dan pekerja semasa mendepani cabaran Covid-19 bermula awal 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Julai 2022 @ 4:41 PM
M SARAVANAN (kiri) bersama Hamzah pada sidang media Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia Mengenai Pengurusan Pekerja Asing di Bukit Aman. FOTO Saifullizan Tamadi
M SARAVANAN (kiri) bersama Hamzah pada sidang media Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia Mengenai Pengurusan Pekerja Asing di Bukit Aman. FOTO Saifullizan Tamadi