MOHAMAD Salleh. FOTO Arkib NSTP
MOHAMAD Salleh. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Maybank Singapore Limited semalam menarik balik samannya terhadap Pengerusi National Feedlot Corporation (NFC) Datuk Dr Mohamad Salleh Ismail dan dua anaknya yang didakwa gagal membayar dua pinjaman perumahan berjumlah S$2.53 juta bagi pembelian hartanah di Singapura.

Mohamad Salleh adalah suami kepada bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.

Peguam Wan Mohammad Arfan Wan Othman yang mewakili Mohamad Salleh dan dua anaknya, Wan Shahinur Izran dan Wan Izzana Fatimah Zabedah berkata, Maybank Singapore selaku plaintif menarik balik saman itu berikutan satu perjanjian penyelesaian telah dicapai oleh kedua-dua pihak.

"Hakim Mahkamah Tinggi Atan Mustaffa Yussof Ahmad membenarkan saman itu ditarik balik dengan kebebasan untuk plaintif (Maybank) memfailkan semula saman baharu dan tiada perintah mengenai kos," katanya ketika dihubungi pemberita selepas prosiding kes itu yang berlangsung secara dalam talian.

Berdasarkan semakan sistem mahkamah, pihak plaintif menarik balik kes saman itu selepas kedua-dua pihak mencapai penyelesaian.

Semalam, sepatutnya ditetapkan untuk pendengaran permohonan Maybank Singapore untuk mendapatkan penghakiman terus yang turut dihadiri peguam Tan Hui Ru mewakili bank itu.

Pada 19 Julai tahun lepas, Maybank Singapore dalam pernyataan tuntutannya mendakwa atas permintaan kesemua defendan, plaintif memberi pinjaman perumahan untuk hartanah di Orchard Scotts, Singapura sebanyak S$4.3 juta tertakluk kepada terma dan syarat dalam surat-surat tawaran bertarikh 20 November 2009 dan 10 November 2017.

Kesemua defendan didakwa ingkar untuk membayar ansuran bulanan sebanyak S$7,225 dan plaintif sudah menarik balik pinjaman serta menuntut pembayaran penuh sebanyak S$3.94 juta yang menjadi jumlah terhutang setakat 22 Jun 2018 bersama dengan faedah yang terakru ke atasnya.

Plaintif mendakwa sudah melaksanakan haknya di bawah Gadai Janji dan memperoleh perintah mahkamah bertarikh 23 Januari 2019 daripada Mahkamah Tinggi Singapura untuk mendapatkan semula hartanah serta menjualnya melalui satu lelongan pada 28 Jun 2019 dengan harga S$3.2 juta.

Bagaimanapun, harga jualan itu tidak mencukupi untuk melangsaikan keseluruhan jumlah hutang di bawah pinjaman tersebut yang masih tertunggak sebanyak S$1.37 juta.

Bagi hartanah kedua, plaintif mendakwa memberi pinjaman perumahan sebanyak S$5.3 juta kepada Mohamad Salleh dan Wan Shahinur untuk pembelian hartanah di Central Boulevard, Singapura dengan ansuran bulanan S$8,700.

Plaintif mendakwa mereka gagal melunaskan tunggakan dalam pembayaran pinjaman itu dan menuntut S$5.05 juta yang menjadi jumlah tertunggak dan terhutang setakat 4 Jun 2018 bersama dengan semua faedah yang terakru ke atasnya.

Plaintif kemudian melaksanakan haknya di bawah Gadai Janji dan memperoleh perintah mahkamah bertarikh 23 Januari 2019 daripada Mahkamah Tinggi Singapura untuk mendapatkan semula hartanah itu dan menjualnya pada harga S$4.68 juta.

Dakwa plaintif, harga jualan hartanah itu tidak mencukupi untuk melangsaikan keseluruhan keberhutangan di bawah pinjaman itu dan menuntut kedua-dua defendan membayar S$1.16 juta bersama dengan faedah yang terakru ke atasnya.

Sehubungan itu, plaintif memohon untuk memasukkan penghakiman terhadap kesemua defendan antaranya menuntut jumlah terhutang sebanyak S$1.37 juta daripada ketiga-tiga defendan dan S$1.16 juta daripada Mohamad Salleh dan Wan Shaninur serta perintah dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Julai 2022 @ 9:19 AM