MOHAMAD Salleh dan isterinya, Shahrizat. FOTO arkib NSTP
MOHAMAD Salleh dan isterinya, Shahrizat. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Pengerusi Eksekutif National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp) Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail meluahkan rasa syukur kepada Allah SWT selepas dakwaan yang dihadapi oleh beliau dan keluarganya selama lebih 12 tahun akhirnya dibuktikan sebagai tidak benar.

Beliau berkata, keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam, adalah jelas dan tanpa ragu-ragu membebaskan beliau dan tiga anaknya, iaitu Wan Shahinur Izran, Wan Shahinur Izmir dan Wan Izzana Fatimah Zabedah daripada tuduhan yang dilontar kepada mereka sejak perbicaraan NFC bermula pada 2012.

"Dalam penghakiman yang jelas, Hakim Anand Ponnudurai yang mendasari keputusan beliau atas fakta yang dibentangkan di mahkamah, menegaskan tidak ada penyelewengan atau sebarang salah laku oleh kami, dan kesemua transaksi termasuk pelaburan hartanah, dilakukan menurut prosedur.

"Walaupun saya sebelum ini 'disabitkan' oleh pendapat masyarakat umum, saya bersyukur kerana pada hari Jumaat (semalam), penghulu semua hari, sistem perundangan negara menegakkan kebenaran dan membebaskan saya dan keluarga saya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Salleh yang juga suami kepada bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil, berkata sepanjang tempoh itu, isterinya turut menjadi mangsa fitnah dan penindasan politik.

"Apabila beliau secara sukarela meletak jawatan dalam Kabinet disebabkan oleh dakwaan itu, saya juga berasa sangat sedih, namun kami berserah kepada kehendak Allah," tambahnya.

Semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan NFCorp membayar balik kepada kerajaan sejumlah RM33,743,591.37, iaitu bahagian pinjaman yang tidak digunakan berhubung Projek Pusat Fidlot Kebangsan di Gemas, Negeri Sembilan.

Kerajaan selaku plaintif, memfailkan saman terhadap NFCorp dan 10 lagi termasuk Mohamad Salleh dan tiga anaknya, serta enam syarikat yang dikawal oleh keluarga Mohamad Salleh, memohon defendan membayar balik RM253.6 juta yang dipinjamkan untuk projek tersebut.

Plaintif berkata, pinjaman itu dikeluarkan dalam tiga tranche, dan keluarga Mohamad Salleh didakwa membuat 10 pengeluaran dengan jumlah keseluruhan RM180.51 juta, dari 24 Januari 2008 hingga 3 Januari 2011.

Anand dalam penghakimannya, memutuskan tidak ada bukti pinjaman itu telah disalah guna oleh defendan selain mendapati plaintif gagal membuktikan sebarang bentuk ketidakjujuran defendan.

Beliau juga membenarkan tuntutan balas defendan dan memerintahkan kerajaan membayar RM10,000 sebagai ganti rugi nominal kepada defendan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Oktober 2023 @ 3:49 PM