Pemangku Raja Johor, Tunku Ismail Ibrahim.
Pemangku Raja Johor, Tunku Ismail Ibrahim.
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Pemangku Raja Johor, Tunku Ismail Ibrahim, menzahirkan kehairanan dengan isu kasut Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi yang dilaporkan media bukan Melayu, kelmarin.

Tunku Ismail menerusi akaun Twitter baginda turut menyindir laporan berkenaan dengan mencadangkan Onn Hafiz memakai selipar selepas ini.

"Benda macam ni pun jadi isu? Dato saya cadangkan lepas ni Dato pakai selipar sahaja.

"Baru semalam saya terfikir nak hadiahkan jam tangan pada Dato & beberapa pegawai kerajaan.

"Dato, nasihat saya jalankan tugas untuk negeri Johor. Jangan melayan sangat apa orang nak cakap. Yang penting buat kerja," titah baginda dalam ciapan menerusi akaun Twitter malam tadi.

Semalam, Onn Hafiz menafikan membeli kasut berharga puluhan ribu ringgit.

Menerusi hantaran di Facebook, beliau berkata, kasut itu adalah kurniaan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar.

"Fitnah dan tohmahan perlu dihentikan. Untuk rekod, ini adalah kurniaan Kebawah Duli Tuanku Sultan.

"Ini bukan perkara baharu malah Kebawah Duli Tuanku ada juga memberi kurniaan kepada barisan Exco kerajaan yang lepas dan kepada pegawai kerajaan negeri sebagai motivasi sentiasa bekerja keras untuk rakyat," katanya.

Terdahulu, beberapa akhbar berbahasa Cina melaporkan isu kasut itu yang dipetik daripada akaun media sosial milik seorang individu mendakwa Onn Hafiz membeli kasut berharga ribuan ringgit sehingga mendapat pelbagai reaksi daripada netizen.

Berita berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Julai 2022 @ 11:52 AM