Tunku Ismail Sultan Ibrahim, berangkat sebagai wakil rasmi Sultan Johor, dalam majlis simbolik penyerahan khemah kubik kepada wakil setiap negeri  pada majlis yang berlangsung di Istana Polo, Pasir Pelangi. FOTO IHSAN RPO
Tunku Ismail Sultan Ibrahim, berangkat sebagai wakil rasmi Sultan Johor, dalam majlis simbolik penyerahan khemah kubik kepada wakil setiap negeri pada majlis yang berlangsung di Istana Polo, Pasir Pelangi. FOTO IHSAN RPO
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar berkenan mengurniakan 103,000 unit khemah kubik bernilai RM19 juta kepada negeri di seluruh negara.

Khemah kubik kurniaan Sultan Ibrahim menerusi Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) itu adalah untuk kegunaan sewaktu bencana alam bagi menempatkan mangsa di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Majlis simbolik penyerahan khemah kubik kepada wakil setiap negeri disempurnakan oleh Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Tunku Ismail berangkat sebagai wakil rasmi Sultan Johor pada majlis yang berlangsung di Istana Polo, Pasir Pelangi di sini, hari ini.

Setiap negeri bakal mendapat lebih 5,000 unit khemah yang disumbangkan YSIJ.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Azmi Rohani dan Pemegang Amanah Urusan YSIJ, Datuk Avinderjit Singh.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Nazran Muhammad; Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Tengku Sri Bijaya Raja Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil dan Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak.

Selain itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Wira Zaidi Johari; Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Haris Kasim dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang (Pembangunan), Datuk Zakuan Zakaria turut hadir.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah (Bahagian Pengurusan Pasca Bencana) Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA Malaysia), Datuk Khairul Shahril Idrus.

Sementara itu, Datuk Avinderjit Singh, berkata keprihatinan Sultan Johor mengurniakan khemah berkenaan kepada seluruh negeri supaya dapat digunakan mangsa sewaktu bencana banjir besar yang diramalkan November nanti.

"Baginda amat prihatin dengan kebajikan rakyat sewaktu bencana dan kurniaan khemah ini boleh digunakan untuk penempatan mangsa-mangsa di PPS," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 September 2022 @ 3:22 PM