Siti A’isyah Sukaimi


PENGURUSAN syarikat Hajar Sazrul Travel & Tours membuat laporan polis pagi semalam susulan 26 jemaah Malaysia di bawah kendaliannya terkandas di Jeddah, Arab Saudi berhubung visa Furada dikatakan palsu.

Pengarahnya, Mohamad Sazrul Iqram Rozlan berkata, laporan itu dibuat di Balai Polis Jalan Tun Razak selepas pihaknya mendapat makluman berhubung kejadian itu.

“Jemaah terbabit tidak dapat keluar dari lapangan terbang di Jeddah dan nama mereka tiada. Setakat ini saja daripada pihak kami, laporan polis sudah dibuat.

“Polis memberitahu, perkara ini akan ‘pergi’ ke pihak media, jadi mereka memaklumkan supaya tidak mengulas lebih lanjut kerana akan mengganggu siasatan mereka,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang hari ini.

Semalam Harian Metro melaporkan, 26 rakyat Malaysia yang kononnya menerima visa Furada terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz, Jeddah selepas imigresen Arab Saudi mendapati nama mereka tiada dalam senarai visa haji.

Menerusi laporan itu, mereka datang dalam satu kumpulan menaiki penerbangan komersil dari KLIA sebelum tiba di Jeddah, 7 malam kelmarin.

Semua rakyat Malaysia itu tiba di tanah air 11.03 pagi hari ini menerusi penerbangan Malaysia Airlines MH151.

Dalam pada itu, Mohamad Sazrul Iqram mendakwa, urusan visa Furada itu diuruskan pegawai Kedutaan Arab Saudi di Malaysia.

“Kita terkejut dikatakan visa itu tidak sah kerana kita sudah lama berurusan dengan pihak kedutaan.

“Justeru, kita merasakan kepercayaan kita kepada pihak berkenaan dicabuli apabila kejadian ini berlaku,” katanya.

Pada masa sama beliau mendakwa, kejadian seumpama itu kali pertama berlaku sejak 12 tahun agensi berkenaan beroperasi.

Katanya, tahun lalu syarikat itu mengendalikan pengurusan haji dan tidak menghadapi sebarang masalah.

“Polis sudah memberikan kerjasama baik kepada kita cuma mereka minta jangan beritahu apa-apa kerana tidak mahu mengganggu siasatan.

“Bakal jemaah itu tidak menghadapi masalah ketika pelepasan di Malaysia tetapi ia timbul di sana jadi kita tidak tahu apa punca.

“Kita tidak mahu menganiaya mereka dan memastikan jemaah kendalian kami pulang dengan selamat selain memberi keadilan kepada mereka,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohamad Sazrul Iqram turut menegaskan syarikat berkenaan tidak menipu.

“Jemaah kita ramai daripada kenalan kita dan apabila perkara ini terjadi, kita sangat terkejut dan sedih sebab segala persiapan dan urusan sudah dibuat.

“Jadi apa-apa yang berlaku berkaitan isu ini, kita tidak dapat memberi lebih lanjut lagi kerana tidak mahu mengganggu siasatan polis,” katanya.

Berita berkaitan

26 bakal haji terkandas di Jeddah

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Ogos 2019 @ 2:59 PM
Jemaah Malaysia yang terkandas di Jeddah tiba di KLIA hari ini manakala gambar kecil, Mohamad Sazrul Iqram. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Jemaah Malaysia yang terkandas di Jeddah tiba di KLIA hari ini manakala gambar kecil, Mohamad Sazrul Iqram. FOTO Mohd Fadli Hamzah