Gambar hiasan. FOTO arkib NSTP
Gambar hiasan. FOTO arkib NSTP
Siti A'isyah Sukaimi


SERAMAI 31 bakal jemaah haji terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang sejak petang semalam susulan masalah pengurusan dokumen perjalanan termasuk tiket penerbangan dikendalikan sebuah agensi.

Difahamkan, mereka berkumpul di KLIA sejak 2 petang semalam selepas diminta oleh pihak agensi memandangkan pesawat dijangka berlepas kira-kira 6 petang.

Bakal jemaah wanita yang enggan dikenali berkata, ejen daripada pihak agensi berkenaan turut hadir bertemu dengan kumpulan terbabit namun mereka tidak mendapat penjelasan sebenar mengenai masalah itu.

“Pihak ejen mendakwa penerbangan kami ke Tanah Suci melalui kuota ditetapkan iaitu atase Kementerian Luar dan Lembaga Tabung Haji (TH).

"Saya mendapat tahu, ada lapan orang daripada kumpulan ini sudah mendapat penerbangan iaitu dari Dubai ke Jeddah secara transit namun tiada tiket penerbangan dari KLIA," katanya hari ini.

Dia berkata, ejen itu memberikan pelbagai alasan apabila ditanya mengenai masalah dihadapi mereka.

"Saya ada tanya kepada ejen sama ada akan memulangkan jumlah keseluruhan bayaran oleh peserta dan mereka berjanji akan berbuat demikian," katanya.

Ditanya mengenai pakej ditawarkan, dia berkata, untuk dua orang satu bilik, jemaah perlu membayar RM51,000 manakala, bagi tiga orang satu bilik berharga RM48,000.

Sementara itu, suami wanita itu berkata, mereka mengenali agensi beroperasi di Klang itu selepas mendapat maklum balas daripada rakan yang pernah mengikutinya.

"Ramai mengatakan agensi ini bagus dan memberikan khidmat terbaik selepas menunaikan umrah melalui mereka jadi, saya dan isteri membuat keputusan mahu mengikuti agensi ini.

"Kami membuat laporan polis dan ada peserta lain turut melakukan perkara sama," katanya.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, beliau meminta umat Islam yang mahu menunaikan ibadah rukun Islam kelima itu sama ada melalui TH atau agensi yang mempunyai tauliah daripada TH saja.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Ogos 2017 @ 8:54 PM