ORANG ramai terkandas di KKIA apabila beberapa penerbangan dibatalkan hari ini. FOTO Bernama
ORANG ramai terkandas di KKIA apabila beberapa penerbangan dibatalkan hari ini. FOTO Bernama
BERNAMA

Kota Kinabalu: Rombongan pengantin dan jemaah umrah antara ribuan penumpang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) di sini, berikutan pembatalan penerbangan membabitkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sabah dan Sarawak hari ini.

Rusnih Majid, 65, dari Kampung Luagan Sanginan Beaufort bersama 16 ahli keluarganya termasuk ibu pengantin lelaki dijadual bertolak ke Kuching pada 12.30 tengah hari melalui syarikat penerbangan Firefly, namun penerbangan itu dibatalkan hari ini serta dijadual semula.

Beliau berkata, seawal 6 pagi lagi mereka bertolak dari Beaufort dan hanya mengetahui mengenai penjadualan semula penerbangan itu apabila tiba di KKIA kira-kira 9 pagi.

"Memang rasa kecewa juga sebab kami datang dari jauh (Beaufort), keluarga dari Labuan pun ada bersama, kami ke sana untuk majlis kahwin anak adik saya," katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini.

Rusnih bagaimanapun berharap situasi itu tidak berlarutan dan mereka sekeluarga akan dapat menghadiri majlis perkahwinan anak saudaranya itu yang berlangsung pada Sabtu ini.

Sementara itu, Penasihat Syariah Raudah Borneo Travel and Services Sdn Bhd Datuk Saifulzaman Sangul berkata, agensi itu yang membawa seramai 66 jemaah umrah, juga turut terkandas.

Beliau berharap kepada semua jemaah supaya dapat bersabar dan berdoa semoga situasi itu akan menjadi lebih baik dan operasi penerbangan kembali berjalan seperti biasa.

"Mereka yang menunaikan umrah kita harapkan penerbangan mereka sampai ke Tanah Suci dengan aman selamat dan melaksanakan tanggungjawab umrah," katanya.

Jemaah umrah Nuraini Robert, 54, dan anaknya Najwa Musain Musli, 28, dari Kampung Paal, Tenom juga terpaksa akur apabila penerbangan mereka melalui agensi umrah itu yang dijadual pada 12.05 tengah hari ke Singapura telah ditangguhkan.

Beliau berkata, mereka hanya mengetahui penjadualan penerbangan itu ketika berada di KKIA, selepas dimaklumkan oleh agensi umrah yang membawa rombongan jemaah yang dijangka tiba di Jeddah esok.

"Mak cik sampai di Kota Kinabalu semalam dan apabila terjadi situasi begini, kita terima sajalah, berdoa semoga keadaan akan menjadi lebih baik dan selamat sampai ke tempat yang dituju," katanya.

Beberapa penerbangan hari ini antaranya Malaysia Airlines dan AirAsia menghubungkan KLIA, Sabah, dan Sarawak, dibatalkan hari ini berikutan letusan gunung berapi di Gunung Ruang, Indonesia.

Malaysia Airlines setakat ini memberitahu 19 penerbangannya telah dibatalkan, 11 penerbangan ke Sabah, manakala lapan lagi ke Sarawak.

AirAsia pula memberitahu 16 penerbangannya dengan destinasi KLIA dan Sabah dibatalkan, iaitu lapan ke Kota Kinabalu dan lapan lagi ke Tawau.

Syarikat penerbangan, pengendali pesawat disaran pantau maklumat berkaitan debu gunung berapi-CAAM

Lapangan terbang di Manado ditutup 24 jam

Ratusan penumpang terkandas di LTAK

MAS, AirAsia batalkan penerbangan KL-Sabah-Sarawak

Letusan Gunung Ruang: 11,000 penduduk terpaksa dipindahkan

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2024 @ 1:51 PM