PPDA mengangkat mangsa yang ditemukan lemas. FOTO Ihsan Bomba
PPDA mengangkat mangsa yang ditemukan lemas. FOTO Ihsan Bomba
BERNAMA

Kuala Lumpur: Muatan pokok teratai yang berlebihan dipercayai punca bot terbalik mengakibatkan dua beranak lemas di sebuah kolam takungan di Taman Cahaya Sungai Chua, Kajang, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata muatan berlebihan bot itu dipercayai menyebabkannya hilang imbangan dan terbalik.

Media melaporkan dalam kejadian pada kira-kira 2 petang itu, bot dinaiki Mohd Adnan Johdi, 50, serta dua anak lelakinya Hakimi, 15, dan Mohamad Mustaqkim, 17, terbalik ketika mereka melakukan kerja membersihkan kolam takungan tersebut, namun Mohamad Mustaqkim terselamat.

"Mangsa yang melakukan kerja-kerja pembersihan pokok teratai di dalam tasik (kolam takungan) sejak pagi sehingga kejadian berlaku," katanya dalam kenyataan malam ini.

Katanya kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu, untuk berhubung dengan pegawai penyiasat kes Sarjan Ariffin di Balai Polis Kajang.

Mayat Mohd Adnan ditemukan kira-kira lima kilometer dari lokasi bot mereka tenggelam pada 5.12 petang, manakala mayat Hakimi ditemukan kira-kira 10 kilometer dari tempat kejadian pada 6.56 petang.

Berita berkaitan:

  • Sempat lihat ayah cuba selamatkan adik
  • Mayat dua beranak lemas sudah ditemukan
  • Dua beranak hilang, bot dinaiki terbalik
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Julai 2022 @ 12:33 AM