M SARAVANAN bercakap kepada pemberita selepas majlis pelancaran Program Pembiayaan Insurans Kenderaan Keluarga Malaysia hari ini. FOTO BERNAMA
M SARAVANAN bercakap kepada pemberita selepas majlis pelancaran Program Pembiayaan Insurans Kenderaan Keluarga Malaysia hari ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Putrajaya: Peluasan program pembiayaan insurans kenderaan Keluarga Malaysia, myezycover.com, kepada kakitangan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dan sektor swasta akan dimulakan di GLC terkemuka seperti Tenaga Nasional Bhd dan Telekom Malaysia, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan.

Skim myezycover.com, yang berkonsep patuh syariah Qardul Hasan iaitu pinjaman tidak membabitkan faedah atau unsur riba, dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini untuk penjawat awam bagi tujuan pembelian insurans kenderaan dan cukai jalan.

Ismail Sabri ketika berucap melancarkan myezycover.com itu berkata, pembiayaan insurans kenderaan itu akan turut diperluaskan kepada kakitangan GLC, GLIC dan sektor swasta dalam masa terdekat, selepas perbincangan mengenainya diadakan bersama Saravanan baru-baru ini.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis pelancaran myezycover.com itu, Saravanan berkata, pelaksanaan bagi kakitangan GLC, GLIC dan sektor swasta akan membabitkan mekanisme kutipan pembayaran balik pembiayaan yang bersesuaian.

"Untuk penjawat awam proses pembayaran balik adalah selamat sebab melalui Skim Potongan Gaji Angkasa (Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd).

"Tetapi apabila PM (Perdana Menteri) umum peluasan kepada agensi terbabit, maka kami akan berbincang dengan agensi-agensi ini untuk cari mekanisme sesuai untuk memastikan situasi 'menang-menang' kepada setiap pihak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Julai 2022 @ 4:27 PM